
KUALA TERENGGANU, 30 September – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu memperhebat usaha pengumpulan dan pemasaran bagi menangani lambakan buah duku susulan peningkatan hasil ketika musim pengeluaran.
- 13 pusat pengumpulan di lima daerah berfungsi sebagai saluran utama mengumpul hasil pekebun sebelum dipasarkan.
- FAMA memperuntuk lebih RM400,000 untuk membeli lebih 300 tan metrik duku sepanjang musim.
- FAMA membeli duku pada RM1.50 sekilogram sebelum dipasarkan ke luar Terengganu termasuk Lembah Klang.
- Usaha ini membantu pekebun akses pasaran lebih luas dan mengurangkan risiko lambakan semasa musim pengeluaran.
Sebanyak 13 pusat pengumpulan di lima daerah beroperasi sebagai saluran utama mengumpulkan hasil daripada pekebun sebelum dipasarkan ke destinasi yang mempunyai permintaan tinggi, termasuk Lembah Klang.
Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, FAMA memperuntukkan lebih RM400,000 bagi membeli lebih 300 tan metrik duku daripada pekebun sepanjang musim ini.
“Langkah itu penting bagi memastikan hasil duku dapat dikumpulkan dan dipasarkan dengan segera, sekali gus mengurangkan risiko lambakan ketika pengeluaran berada pada tahap tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pengumpulan dan pengedaran buah bermusim itu di Kampung Banggol Katong, Serada.
Daripada 13 pusat pengumpulan berkenaan, empat masing-masing terletak di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, tiga di Dungun serta masing-masing satu di Marang dan Besut.
Sementara itu, pemilik Pusat Pengumpulan Duku Kampung Banggol Katong, Shaiful Bahari Mohamad, berkata kerjasama FAMA membantu pekebun mendapatkan akses ke pasaran yang lebih luas.
“FAMA membeli duku daripada pekebun pada harga RM1.50 sekilogram sebelum hasil berkenaan dipasarkan ke luar Terengganu, termasuk Lembah Klang,” katanya.
Usaha berkenaan diharap dapat memastikan hasil duku tempatan terus mempunyai saluran pasaran, selain membantu mengurangkan lambakan sepanjang musim pengeluaran.