LNG Canada Fasa 2 buka peluang pelaburan CA$33 bilion

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 September – Keputusan pelaburan akhir bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia, membuka laluan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • PETRONAS dan rakan usaha sama memuktamadkan keputusan pelaburan bagi LNG Canada Fasa 2, membolehkan projek pembesaran diteruskan.
  • Pembesaran akan menjadikan LNG Canada antara kemudahan LNG terbesar dunia dan mengukuhkan bekalan tenaga ke pasaran antarabangsa.
  • Kapasiti pengeluaran digandakan daripada 14 juta tan setahun kepada 28 juta tan setahun.
  • Anwar menzahirkan tahniah kepada PETRONAS dan menghargai sokongan Mark Carney, memperkukuh hubungan serta peluang kerjasama Malaysia dan Kanada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan dimuktamadkan PETRONAS bersama rakan usaha samanya, sekali gus membolehkan projek pembesaran itu diteruskan.

Menurut beliau, pembesaran berkenaan bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia, selain memperkukuh bekalan tenaga ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan PETRONAS menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa, selain mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.

“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira dari Kanada apabila PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan berkenaan serta menghargai sokongan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney kepada PETRONAS.

Beliau pada masa sama mengalu-alukan pertemuan bersama Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada.

LNG Canada mengesahkan keputusan pelaburan akhir Fasa 2 akan menggandakan kapasiti pengeluaran kemudahan itu daripada 14 juta tan setahun kepada 28 juta tan setahun. Projek berkenaan melibatkan PETRONAS bersama Shell, PetroChina, Mitsubishi Corporation dan KOGAS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.