
KUALA LUMPUR, 26 September – Kapasiti asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar meningkat kepada 300 murid menerusi Projek Pembinaan Blok Asrama Baharu bernilai RM18.23 juta.
- Kemudahan baharu membantu menangani isu kekurangan asrama yang sekian lama dihadapi sekolah.
- Projek merangkumi dua blok asrama, dewan makan dan pelbagai kemudahan sokongan termasuk ruang belajar, kemudahan cucian, gelanggang sukan, dormitori mesra OKU.
- Diharapkan pertambahan kemudahan membolehkan lebih ramai murid memerlukan mengikuti persekolahan dalam persekitaran selesa, selamat dan kondusif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan baharu itu dapat membantu menangani isu kekurangan kapasiti asrama yang sekian lama dihadapi pihak sekolah.
Beliau berkata, sebelum ini asrama SMK Majakir hanya mampu menempatkan 160 murid, iaitu 80 lelaki dan 80 perempuan, menyebabkan sebahagian permohonan terpaksa ditolak berikutan kekurangan tempat.
“Kekangan ruang turut menyebabkan bilik warden asrama lelaki digunakan sebagai bilik murid, manakala sebuah bilik darjah dijadikan ruang persediaan belajar.
“Dengan siapnya blok asrama baharu ini, jumlah kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid, iaitu pertambahan 140 kapasiti berbanding asrama lama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Projek yang siap sepenuhnya pada 30 April 2026 itu merangkumi pembinaan dua blok bangunan asrama dua tingkat, sebuah dewan makan serta pelbagai kemudahan sokongan.
Antara kemudahan disediakan termasuk ruang persediaan belajar, kemudahan mencuci dan menggosok pakaian, gelanggang sukan pelbagai guna, dormitori mesra orang kurang upaya (OKU) serta pejabat warden lelaki dan perempuan.
Armizan berkata, projek berkenaan sebelum ini dilawatinya bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada 26 Februari 2023 ketika kerja pembinaan masih berlangsung.
Beliau berharap pertambahan kapasiti itu membolehkan lebih ramai murid yang memerlukan kemudahan asrama mengikuti persekolahan dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Penyerahan projek berkenaan disaksikan Armizan, dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Tuan Haji Abidin Haji Marjan menyerahkan kemudahan itu kepada Pengetua SMK Majakir, Puan Zuraidah Salleh.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.