Musim tengkujuh: KPDN jamin bekalan barangan kawalan di Pulau Redang mencukupi

Mohd Mufsi Lat/Foto RTM

PULAU REDANG, 26 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memberi jaminan bekalan barangan keperluan di pulau ini adalah mencukupi hingga akhir tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN akan memastikan penduduk mendapat akses kepada barangan keperluan terutamanya barangan kawalan ketika musim tengkujuh.
  • Penghantaran barangan dilakukan awal pada November untuk persediaan menghadapi musim tengkujuh.
  • KPDN menyediakan pam minyak di Pos Kampung Baru bagi memudahkan pembelian bahan api penduduk setempat.
  • Kos pengangkutan ke kawasan pedalaman ditanggung subsidi kerajaan dan pengangkut dilantik mengikut jadual penghantaran.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata pihaknya akan memastikan penduduk setempat mempunyai akses kepada barangan keperluan khususnya barangan kawalan terutama ketika musim tengkujuh.

“Bekalan biasa tiada masalah hingga tengkujuh. Ia dijamin mencukupi kerana penghantarannya dilakukan awal pada November.

“KPDN turut menyediakan pam minyak (island pump dispenser) yang ditempatkan di Pos Kampung Baru bagi memudahkan urusan pembelian bahan api penduduk setempat,” ujarnya lagi.

Beliau menambah kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih akan ditanggung melalui subsidi diperuntukkan kerajaan.

“Syarikat pengangkut yang dilantik akan melaksanakan penghantaran mengikut jadual ditetapkan bagi kelancaran bekalan kepada penduduk,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Pengedaran Barang Perlu dan Ihsan Food Bank di Dewan Press Sekolah Kebangsaan (SK)Pulau Redang, Kampung Baru, hari ini.

Dalam masa sama, seramai 50 pelajar asnaf di Pulau Redang turut menerima sumbangan menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.