Malaysia, China meterai MoU pengangkutan dan keselamatan penerbangan awam

Mou kerjasama pengangkutan dimeterai antara Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China, Liu Wei di Beijing / Foto Kementerian Pengangkutan

BEIJING, 23 September – Malaysia dan China memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pengangkutan sekali gus memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pengangkutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama merangkumi pengangkutan darat dan rel, maritim, penerbangan, logistik, teknologi termasuk kecerdasan buatan serta pengangkutan hijau dan infrastruktur rendah karbon.
  • Pertukaran kepakaran teknikal dan pembangunan kapasiti bagi memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi dan memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan ASEAN.
  • MoU keselamatan penerbangan awam antara CAAM dan CAAC merangkumi kelayakan, pensijilan, pemantauan organisasi, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.
  • Kerjasama akan memperkukuh standard keselamatan, mengurangkan pertindihan teknikal serta memudah cara pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua negara.

MoU berkenaan dimeterai antara Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China, Liu Wei selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan mensyuarat dua hala di sini.

“Kerjasama tersebut merangkumi sektor pengangkutan darat dan rel, maritim, penerbangan, logistik, teknologi dan kecerdasan buatan serta pengangkutan hijau dan infrastruktur rendah karbon.

“Turut diberi tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal dan pembangunan kapasiti sekali gus menyokong usaha Malaysia memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan berasaskan teknologi serta memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN,” menurut MOT menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Loke turut menyaksikan pemeteraian satu lagi dokumen iaitu MoU kerjasama keselamatan penerbangan awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

MoU tersebut merangkumi aspek kelayakan, pensijilan, pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.

“Kerjasama ini akan terus memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam, mengurangkan pertindihan dalam proses teknikal serta memudah cara pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara Malaysia dan China,” menurut kementerian itu.

Loke yang dalam lawatan rasmi ke Beijing, turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude, bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penerapan teknologi.

Lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Beijing yang terus berkembang serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan erat tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.