Marcos Jr. beri pengampunan, Veloso terlepas hukuman mati

Mary Jane Veloso disatukan dengan keluarganya sebaik tiba di Pusat Pemulihan untuk Wanita di Manila pada 18 Disember 2024 – Foto AFP

MANILA, 25 September – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. memberi pengampunan kepada Mary Jane Veloso yang menghabiskan hampir 15 tahun di penjara Indonesia selepas wanita itu dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Marcos Jr. berkata beliau telah menandatangani pengampunan terhadap Mary Jane Veloso.
  • Veloso dijangka dibebaskan kerana tiada lagi kes aktif terhadapnya.
  • Presiden tidak menyatakan bila pembebasan itu akan dilakukan.
  • Jakarta menyerahkan beliau ke Manila pada 2024 untuk meneruskan baki hukuman di Filipina.

Veloso, 40, dijangka dibebaskan selepas menerima pengampunan kerana tiada lagi kes aktif terhadapnya.

Namun, Marcos Jr. tidak menyatakan bila pembebasan tersebut akan dilakukan.

Ibu kepada dua anak itu ditangkap dan dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Indonesia pada 2010 selepas beg pakaian yang dibawanya dikesan mempunyai lapisan tersembunyi mengandungi 2.6 kilogram heroin.

Sembilan tahun selepas terselamat daripada hukuman mati, Jakarta menyerahkan Veloso kepada Manila pada 2024 menerusi satu aturan praktikal bagi membolehkan dia dihantar pulang dan meneruskan baki hukuman penjara di Filipina.

Marcos Jr. berkata, beliau telah menandatangani pengampunan terhadap Veloso.

“Saya menandatangani pengampunannya semalam (Khamis),” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke bandar Batac di utara Filipina pada Jumaat.

Jurucakap Marcos sebelum ini memaklumkan, beliau sedang mempertimbangkan secara serius pemberian pengampunan mutlak kepada Veloso.

“Perkara itu turut dimaklumkan peguam Veloso kepada keluarganya, ” kata ibunya, Celia Veloso kepada AFP menerusi panggilan telefon dari kampung halaman mereka di utara Filipina.

Celia berkata, dua anak lelaki Mary Jane sangat gembira selepas menerima berita itu.

Kes wanita Filipina itu yang pergi ke Indonesia untuk mencari pekerjaan sebagai pembantu rumah mencetuskan kemarahan di Filipina terutama ketika jutaan rakyatnya mencari peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi di luar negara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.