
NAGOYA, 22 September – Atlet wushu negara Tan Cheong Min terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara gabungan nanquan dan nandao wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas melakukan kesilapan ketika mendarat dalam rutin nandao, pada Selasa.
- Cheong Min mengumpul 19.389 mata: 9.726 nanquan, 9.663 nandao dan membawa pulang pingat gangsa.
- Emas dimenangi Zhang Yaling (China) 19.569, perak Darya Latisheva (Uzbekistan) 19.413.
- Kesilapan kecil ketika mendarat dalam rutin nandao menjejaskan markah; beliau menyasarkan sekurang-kurangnya perak dan berpeluang emas.
- Walaupun terkilan untuk pasukan, beliau bersyukur usaha panjang tetap membuahkan pingat dan masih berjaya ke podium.
Cheong Min mengumpul 19.389 mata hasil 9.726 mata dalam nanquan dan 9.663 mata dalam nandao untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan pada pertandingan di Aichi Prefectural Martial Arts Hall di sini.
Pingat emas menjadi milik wakil China Zhang Yaling dengan 19.569 mata (9.783, 9.786), manakala Darya Latisheva dari Uzbekistan meraih perak dengan 19.413 mata (9.703, 9.710).
Cheong Min yang memenangi pingat perak dalam acara sama pada Sukan Asia Hangzhou 2022 berkata kesilapan kecil ketika melakukan pendaratan dalam rutin nandao menyebabkan mata yang dikumpulnya terjejas.
“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan gangsa kerana sasaran kami adalah sekurang-kurangnya perak dan mungkin mencabar untuk emas.
“Saya melakukan kesilapan ketika acara nandao. Saya sedikit tidak stabil ketika mendarat dan menyebabkan mata saya dipotong,” katanya.
Atlet berusia 24 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana masih mampu menyumbang pingat kepada kontinjen negara selepas menjalani persiapan rapi bagi menghadapi temasya kali ini.
“Saya sedikit terkilan untuk pasukan Malaysia dan diri sendiri kerana kami sudah lama membuat persiapan untuk ini.
“Saya rasa bertuah kerana masih dapat memenangi pingat. Keadaannya mungkin lebih buruk dan saya mungkin tidak berada di podium.
“Walaupun persembahan saya tidak sempurna, saya tetap gembira dan bersyukur segala usaha keras kami sekurang-kurangnya membuahkan pingat gangsa,” katanya. – BERNAMA