Nahas 12 motosikal : Waris 2 remaja layak terima faedah LINDUNG 24 Jam PERKESO

Foto PDRM Ipoh

IPOH, 21 September – Waris dua remaja yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan 12 motosikal dan tiga kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh, Sabtu lalu, layak menerima faedah LINDUNG 24 Jam PERKESO.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua mangsa berumur 19 tahun dan baru kira-kira setahun bekerja.
  • Muhammad Izdihar mula mencarum pada Januari; Muhamad Faiz mula mencarum sejak Ogos tahun lalu.
  • Walaupun kemalangan di luar waktu kerja, kedua-duanya dilindungi menerusi caruman LINDUNG 24 Jam.
  • Waris terima FOT bulanan (RM945, RM891), faedah pengurusan jenazah RM3,000 dan pencen dianggarkan melebihi RM275,000.

Kedua-dua mangsa berusia 19 tahun dan baru kira-kira setahun menempuh alam pekerjaan sebelum terkorban dalam kemalangan berkenaan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kenyataan berkata, Muhammad Izdihar Rafiq Sarajil Korin mula mencarum pada Januari tahun ini, manakala Muhamad Faiz Danial Jumri mula bekerja dan mencarum sejak Ogos tahun lalu.

Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, kedua-duanya kekal dilindungi selepas memilih untuk meneruskan caruman LINDUNG 24 Jam.

Waris Muhammad Izdihar layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945 sebulan mengikut syer serta ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat, manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.

Sementara, waris Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891 mengikut syer masing-masing akan disalurkan sepanjang hayat kepada ibu bapanya, manakala seorang adik Muhammad Faiz menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.

Sementara itu, kedua-dua waris mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.

Keseluruhan bayaran pencen berkala FOT kepada waris kedua-dua mangsa bagi tempoh 15 tahun dianggarkan melebihi RM275,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.