Lebih 4,000 atlet Sukan SEA 2027 Sarawak akan ditempatkan di hotel

Foto RTM

KUCHING, 18 September – Lebih 4,000 atlet daripada 11 negara yang menyertai Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak dijangka ditempatkan di hotel-hotel terpilih sepanjang temasya itu berlangsung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan penginapan membolehkan atlet menikmati kemudahan lebih selesa sepanjang temasya.
  • Jumlah atlet tidak termasuk pegawai kontinjen; bilangan keseluruhan termasuk pegawai boleh mencecah beberapa ribu.
  • Kompleks Sukan Sarawak akan menjadi lokasi berkonsep festival dengan Malaysian Kitchen dan ruang jualan produk usahawan tempatan.
  • Persiapan 11 venue sukan mendahului jadual; stadium utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa menunjukkan kemajuan awal.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan berkenaan membolehkan atlet menikmati kemudahan penginapan yang lebih selesa sepanjang berada di Sarawak.

Beliau berkata jumlah atlet itu tidak termasuk pegawai kontinjen yang turut dijangka berada di Sarawak sepanjang temasya berkenaan.

“Kapasiti saya rasa cukup kerana setiap negara kemungkinan membawa lebih kurang kesemua jumlah atlet ada dalam 4,000 atlet.

“Ditambah dengan pegawai, jumlahnya boleh mencecah beberapa ribu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Kiraan Detik Setahun Menjelang Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata Kompleks Sukan Sarawak akan dijadikan lokasi berkonsepkan festival sepanjang temasya itu, termasuk menampilkan Malaysian Kitchen serta ruang jualan produk dan barangan usahawan tempatan.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada pengunjung, malah memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka kepada pengunjung dan kontinjen dari negara peserta.

Sementara itu beliau turut berkata persiapan 11 venue sukan bagi Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak kini mendahului jadual.

Ujarnya ini termasuk Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi utama temasya berkenaan.

“Daripada 11 venue yang dibuat naik taraf, hampir semua mendahului jadual, termasuk stadium utama, Stadium Sarawak, di mana perasmian akan dibuat,” katanya.

Abdul Karim turut memaklumkan pembangunan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) yang terletak bersebelahan Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, turut menunjukkan kemajuan lebih awal daripada jadual.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.