Tiada bukti populasi piranha bertapak dan membiak di Empangan Klau – DOF

Tangkap layar video awam yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

PUTRAJAYA, 17 September – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan setakat ini belum terdapat bukti menunjukkan populasi ikan piranha telah bertapak atau membiak di Empangan Klau, Raub, Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hanya seekor ikan disyaki piranha dilaporkan ditangkap pada 26 Ogos; pemantauan lapangan sehingga 15 September tidak merekodkan tangkapan tambahan.
  • Analisis IPP terhadap gambar menunjukkan morfologi konsisten dengan genus Pygocentrus; pengesahan spesies tidak dapat dibuat tanpa spesimen fizikal.
  • DOF menasihatkan orang awam agar tidak panik, akan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
  • Jangan lepaskan ikan disyaki asing; simpan spesimen jika sesuai, hubungi pejabat perikanan untuk pemeriksaan dan ujian DNA, elak menyebar maklumat tidak disahkan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penilaian itu dibuat susulan penangkapan seekor ikan yang disyaki piranha di kawasan berkenaan pada 26 Ogos lalu.

Menurut beliau, hanya seekor ikan seumpama itu dilaporkan ditangkap setakat ini, manakala siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September lalu tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan.

“Berdasarkan hasil penilaian teknikal oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan terhadap gambar dan rakaman video ikan berkenaan, ciri-ciri morfologi yang dapat dilihat adalah konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.

“Bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut. Ikan tersebut dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan mengenai kewujudan ikan piranha di Empangan Klau, termasuk dakwaan bahawa spesies berkenaan telah memakan seekor buaya.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan kewujudan spesies ikan asing berkenaan di perairan tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Adnan menasihatkan orang awam supaya tidak panik dan DOF akan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau serta kawasan sekitarnya bagi mengenal pasti sebarang perkembangan baharu.

Beliau turut menegaskan pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.

“Sekiranya ikan yang disyaki sebagai spesies asing seperti ini ditangkap, jangan lepaskan semula ke dalam air.

“Simpan spesimen sekiranya masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan terdekat untuk pemeriksaan dan analisis lanjut, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) jika diperlukan,” katanya.

Orang awam turut dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi DOF serta mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.