Geng Mak Tok tumpas, sembilan kes pecah rumah selesai

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 17 September – Polis menumpaskan Geng Mak Tok yang aktif melakukan kes pecah rumah di sekitar daerah Kuala Muda sejak April lalu selepas menahan empat lelaki termasuk ketua kumpulan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modus operandi: sasaran rumah tak berpenghuni, curi barang berharga termasuk motosikal bernilai tinggi.
  • Siasatan dan serbuan menyelesaikan sembilan kes; barangan dirampas termasuk dron, motosikal, kamera, mesin basuh, jam tangan; nilai anggaran RM30,000.
  • Semua suspek mempunyai rekod jenayah dan positif ujian air kencing dadah; reman dilanjutkan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata suspek lelaki berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Op Pintu/Op Lejang pada 9 September lalu di sekitar Sungai Petani,

Katanya kumpulan Mak Tok diketuai lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama tiga rakan sejenayah selain dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Nizam dan Jat Chai.

ACP Hanyan dalam kenyataan berkata modus operandi kumpulan itu tertumpu kepada rumah yang tidak berpenghuni serta mengambil barang berharga termasuk kenderaan seperti motosikal yang mempunyai nilai tinggi.

“Penahanan keempat-empat suspek berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitarnya kawasan Taman Delima dan Taman Arked.

Turut dirampas menerusi serbuan tersebut adalah satu set dron, sebuah motosikal, sebuah kamera, sebuah mesin basuh, tiga utas jam tangan dan pelbagai lagi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000,” jelasnya.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek masing-masing mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah. Kesemua suspek direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.