Kenaikan bil elektrik: Mesyuarat khas teliti langkah mitigasi segera

Keadaan jerebu serta cuaca lebih panas mendorong peningkatan penggunaan elektrik/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Mesyuarat khas akan diadakan esok bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan kenaikan bil elektrik yang membebankan sebahagian isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah mitigasi segera dikaji bersama PETRA, Suruhanjaya Tenaga, TNB dan Kementerian Kewangan.
  • Jerebu dan cuaca panas meningkatkan penggunaan elektrik sehingga sesetengah isi rumah melepasi paras 600 kWj sebulan.
  • Kerajaan memastikan 80% pengguna domestik di bawah 600 kWj dilindungi; pengguna melebihi 600 kWj tertakluk kepada AFA; subsidi disasarkan adil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu akan membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut beliau, langkah berkenaan perlu diberi perhatian segera susulan peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah sehingga penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj).

“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri berkata, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

Pengguna yang melepasi paras 600 kWj sebulan pula tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.