Bunga Raya 7s Wanita sasar enam terbaik di Aichi-Nagoya

Ketua Jurulatih Skuad Bunga Raya 7s Wanita Negara Mohammad Faiz Samsukhidir/ RTM

SHAH ALAM, 16 September – Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara, Bunga Raya, menyasarkan kedudukan keenam keseluruhan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan terakhir di Malaysia tumpu kurangkan kesilapan dan laksana strategi permainan dengan baik.
  • Kapten Nur Izzah berkata pemain teruja berlatih bersama pasukan Jepun Azalea Seven untuk tingkatkan teknik dan kemahiran.
  • Skuad akan berlepas ke Jepun pada 18 September untuk kem latihan intensif; diundi dalam Kumpulan B bersama China, Hong Kong dan India.

Ketua Jurulatih Skuad Bunga Raya 7s Wanita Negara Mohammad Faiz Samsukhidir, berkata sesi latihan terakhir di Malaysia hari ini memberi tumpuan kepada usaha meminimumkan kesilapan selain memastikan strategi permainan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kami cuba meminimumkan kesilapan, menerapkan apa yang sudah dirancang dalam strategi permainan dan memaksimumkan kekuatan yang ada.

“Kami cuba mendapatkan tempat keenam terbaik mengikut perkembangan semasa pasukan dengan persiapan yang rapi,” katanya kepada pemberita RTM selepas sesi latihan di sini hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan Nur Izzah Azizan berkata kesemua pemain teruja untuk menjalani latihan bersama skuad ragbi wanita Jepun, Azalea Seven, yang dianggap antara pasukan terbaik di Asia.

Beliau berharap peluang berlatih bersama skuad Jepun selama seminggu dapat membantu meningkatkan teknik, kemahiran dan mutu permainan pasukan negara.

“Kami sangat teruja bakal bermain dan menjalani latihan bersama pasukan Jepun kerana kami tahu Jepun merupakan pasukan nombor satu di Asia.

“Kami berharap dalam tempoh seminggu menjalani latihan bersama mereka dapat memperbaiki teknik dan kemahiran pasukan,” katanya.

Tambah beliau, aspek persediaan fizikal pemain turut dipertingkatkan bagi memastikan kesemua anggota pasukan berada pada tahap terbaik menjelang saingan Sukan Asia.

Skuad Bunga Raya 7s wanita dijadual berlepas ke Jepun pada 18 September ini bagi menjalani kem latihan intensif bersama Azalea Seven sebagai persediaan akhir sebelum saingan Sukan Asia berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober.

Bunga Raya 7s wanita diundi dalam Kumpulan B bersama China, Hong Kong dan India pada peringkat kumpulan.

Pada kejohanan Asia Rugby Emirates Sevens Series 2026 di China sebelum ini, skuad negara menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 12 pasukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.