Al Ain gegar ACLE, benam Al Nassr 4-0

Al Ain meraikan gol ke-4 yang disudahkan pemain gantian Giorgos Giakoumakis./ REUTERS

ABU DHABI, 16 September – Al Ain mencipta kejutan besar dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) Zon Barat apabila membelasah Al Nassr 4-0 di Stadium Hazza Bin Zayed, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al Ain menguasai permainan sejak wisel permulaan dan menghukum kelemahan benteng lawan.
  • Houssine Rahimi membuka jaringan selepas kesilapan lawan dan kemudian menjaringkan gol kedua buat tuan rumah.
  • Soufiane Rahimi menjaringkan gol yang pada mulanya dibatalkan tetapi disahkan selepas semakan VAR.
  • Kegagalan pertahanan Al Nassr mendorong keperluan segera perbaiki taktikal sebelum menentang FC Neftchi Fergana.

Juara Liga Pro UAE itu tampil dominan sejak wisel permulaan dan menghukum kelemahan benteng Al Nassr, dengan dua beradik Maghribi, Houssine dan Soufiane Rahimi, mencuri tumpuan menerusi aksi cemerlang masing-masing.

Houssine membuka tirai jaringan pada minit ke-25 selepas pantas menghukum kesilapan Saad Al-Nasser yang tersalah melakukan hantaran ke belakang, sebelum penyerang itu menyudahkan peluang dengan tenang menewaskan penjaga gol Nawaf Al-Aqidi.

Al Ain terus mengasak selepas rehat dan Houssine sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-63, kali ini menyudahkan hantaran lintang Alejandro Romero untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Soufiane kemudian mengambil giliran membolosi gawang lawan pada minit ke-76 menewaskan Al-Aqidi.

Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan pengadil diubah selepas semakan video VAR mengesahkan gol berkenaan.

Soufiane terus mencipta peluang untuk gol keempat Al Ain menerusi serangan balas pantas, dengan hantaran akhirnya disudahkan pemain gantian Giorgos Giakoumakis.

Kekalahan itu menyaksikan Al Nassr kendalian Ange Postecoglou memulakan kempen ACL Elite dengan langkah sumbang dan perlu segera memperkemaskan jentera pertahanan serta corak permainan menjelang pertemuan dengan kelab Uzbekistan, FC Neftchi Fergana, dalam aksi kedua kumpulan di laman sendiri. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.