
KUALA LUMPUR, 14 September – Kegiatan sepasang suami isteri warga Vietnam mengaut keuntungan sebagai ejen haram mengendalikan urusan imigresen warga asing, berjaya dikesan pihak berkuasa menerusi operasi khas sekitar Ampang, Jumaat lepas.
- Pasangan ditahan bersama bayi 10 bulan; bayi tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan.
- Mereka menawarkan perkhidmatan imigresen haram dengan bayaran sehingga RM12,000 seorang, termasuk lanjutan pas, Pas Khas dan tiket pulang.
- Sitaan termasuk tujuh pasport Vietnam dan lima cap disyaki palsu, telefon, komputer, dokumen dan sebuah kenderaan; suspek disiasat di bawah undang-undang imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menerusi kenyataan berkongsi kejayaan pihaknya mengekang kegiatan berkenaan.
“Pasangan berusia 34 tahun itu ditahan bersama bayi berusia 10 bulan.
“Siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya warga Vietnam dengan bertindak sebagai ejen haram.
“Bagi mengendalikan urusan berkenaan, bayaran yang dikenakan sehingga RM12,000 seorang dengan menawarkan perkhidmatan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam terhadap pendatang asing tanpa izin, (PATI) yang berada di Depot Imigresen,”jelasnya menerusi kenyataan itu.
“Hasil pemeriksaan, tujuh naskhah pasport Vietnam dan lima unit cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu, ditemukan.”
“Sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis kediaman, beberapa helai borang pengesahan warganegara Vietnam dan borang permohonan pasport Vietnam, disita dan sitaan turut membabitkan sebuah kenderaan,”katanya.
Beliau turut mendedahkan, semakan mendapati suspek telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA) dan bayi terbabit pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan untuk berada di negara ini.
Lelaki terbabit ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala isterinya disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kes turut disiasat berkaitan kedudukan bayi berkenaan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.