
KUANTAN, 14 September -Kira-kira 16 kes lemas direkodkan di seluruh negeri Pahamg bagi tempoh Januari hingga 14 September tahun ini.
- Patuhi papan tanda amaran dan larangan mandi di kawasan dikenal pasti berbahaya.
- Sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan fahami risiko di kawasan rekreasi.
- Jika tiada kemahiran menyelamat, jangan terjun ke dalam air.
- Amalkan konsep Reach, Throw, Row, Go: capai atau baling objek, guna bot jika ada, atau hubungi 999 untuk PPDA.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pematuhan terhadap papan tanda amaran serta larangan mandi di kawasan dikenal pasti berbahaya.
“Setakat hari ini, 16 kes lemas direkodkan di seluruh negeri melibatkan 16 kematian dan kami ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan fahami risiko di kawasan rekreasi.
“Jangan sesekali mandi di kawasan yang ditandakan dengan bendera merah atau papan amaran ‘Dilarang Mandi’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Salahuddin berkata sekiranya ternampak individu dipercayai lemas, orang awam dinasihatkan jangan terus terjun ke dalam air jika tidak mempunyai kemahiran menyelamat.
Sebaliknya, beliau berkata bantuan boleh diberikan menerusi konsep “Reach, Throw, Row, Go” dengan cuba mencapai mangsa menggunakan objek panjang seperti kayu atau galah (Reach), membaling objek terapung seperti pelampung (Throw), bot jika ada (Row) atau hubungi talian kecemasan 999 untuk menggerakkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi (Go). – BERNAMA.