
TEMERLOH, 14 September – Seorang penghantar barang ditahan menerusi satu serbuan di kawasan Paya Keladan di sini, Sabtu lalu.
- Ditemui 15 ml cecair vape disyaki MDMA dan 6.15 gram serbuk kristal disyaki syabu bernilai RM1,022.00.
- Polis menemui pistol palsu yang disorok di bawah kerusi pemandu kenderaan suspek.
- Suspek positif ujian urin dan mempunyai satu rekod lampau kesalahan penyalahgunaan dadah.
- Suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah; disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah dan Seksyen 36 Akta Senjata.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Nasyim Bahron berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 29 tahun itu menjumpai 15 mililiter cecair vape disyaki dadah jenis MDMA dan 6.15 gram serbuk kristal disyaki syabu dianggarkan bernilai RM1,022.00.
Polis turut menemukan senjata api palsu jenis pistol dipercayai milik suspek yang disorok di bawah kerusi pemandu selepas membuat pemeriksaan terhadap kenderaan dipandunya.
“Suspek positif ujian urin dan mempunyai satu rekod lampau di bawah kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula 13 September hingga esok,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, yang boleh dihukum setahun penjara atau denda kerana memiliki senjata api.