Kes Rohingya: Polis minta salur maklumat, elak provokasi ancam keamanan

Para pelatih melakukan perbarisan lalu dan lintas hormat sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Awam di UMK/Foto BERNAMA

BACHOK, 14 September – Polis mengingatkan individu termasuk pempengaruh supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu Rohingya kerana dibimbangi mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keamanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Salurkan maklumat lokasi komuniti Rohingya kepada polis untuk tindakan mengikut undang-undang.
  • Jangan bertindak sendiri atau membuat undang-undang sendiri; laporkan kepada pihak berkuasa seperti imigresen dan polis.
  • Tindakan emosi dan penularan lokasi boleh mencetus provokasi serta menjejaskan keamanan awam.
  • Polis mahu maklumat disalurkan supaya tindakan susulan boleh diambil mengikut peraturan sedia ada.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebaliknya maklumat seperti lokasi mereka perlu disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan mengikut undang-undang.

Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang kononnya terpaksa bertindak sendiri susulan dakwaan kelewatan pihak berkuasa boleh membawa implikasi negatif apabila dipengaruhi emosi.

“Pihak komuniti diminta tidak membuat undang-undang sendiri kerana kita ada pihak berkuasa, seperti imigresen dan polis. Jika ada kekeliruan atau kejadian yang memerlukan tindakan daripada pihak berkuasa, lapor kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini.

Mengulas tindakan menularkan lokasi yang didakwa menjadi penempatan komuniti Rohingya, Datuk Noor Hisam berkata, maklumat berkenaan wajar disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan susulan diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Pihak polis tidak mahu penyebaran maklumat berkaitan komuniti berkenaan mencetuskan provokasi atau menjejaskan keamanan awam,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.