Gagal pamer tanda harga, dua premis di Labuan dikompaun

Foto KPDN Labuan

LABUAN, 14 September – Dua premis perniagaan di Labuan, masing-masing sebuah restoran dan pasar raya, dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Restoran tidak mempamerkan tanda harga bagi makanan siap dimasak dijual kepada pelanggan.
  • Sebuah pasar raya gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi bahan pencuci.
  • Kompaun dikenakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2020 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
  • KPDN akan terus jalankan pemeriksaan dan advokasi bagi meningkatkan pematuhan peniaga serta melindungi hak pengguna.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati restoran berkenaan tidak mempamerkan tanda harga bagi makanan siap dimasak yang dijual kepada pelanggan.

“Pemeriksaan berasingan di sebuah pasar raya pula mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi bahan pencuci.

“Tindakan kompaun dikenakan terhadap kedua-dua premis kerana melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],”katanya.

Tegasnya lagi, harga barangan tidak sepatutnya menjadi tanda tanya kepada pengguna kerana mereka berhak mengetahui harga sebelum membuat pembelian.

“Tanda harga yang jelas dan mudah dilihat membolehkan pengguna membuat perbandingan serta pilihan berdasarkan kemampuan, selain mengelakkan kekeliruan dan pertikaian ketika pembayaran,” katanya.

KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan advokasi bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga, selain memastikan urus niaga lebih telus serta hak pengguna terus dilindungi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.