
KUALA LUMPUR, 14 September – Sebuah kotak plastik yang ditemu mencurigakan di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, tengah hari tadi, dimusnahkan.
- Pihak polis menerima laporan; siasatan awal mendapati objek disyaki mengandungi bahan radioaktif selepas bacaan radiasi tinggi.
- Unit Pemusnah Bom, Unit CBRE Bukit Aman dan Agensi Nuklear Malaysia digerakkan untuk pemeriksaan lanjut.
- UPB menggunakan peralatan Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan kotak; pemeriksaan menemukan beberapa kotak berisi blok binaan berwarna-warni.
- Jabatan Tenaga Atom mengesahkan tiada bacaan radioaktif; siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan; orang ramai dinasihat tidak sebarkan maklumat palsu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi kenyataan mengesahkan laporan diterima pihaknya kira-kira pukul 12.57 tengah hari dan siasatan awal mendapati objek berkenaan dipercayai mengandungi bahan radioaktif selepas menunjukkan bacaan radiasi agak tinggi.
“Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRE) Bukit Aman serta Agensi Nuklear Malaysia digerakkan ke lokasi berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
“UPB menggunakan peralatan Recoilless Disruptor 5.0 bagi memusnahkan kotak berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap kotak yang dimusnahkan itu menemukan beberapa kotak mengandungi barangan berbentuk blok binaan berwarna-warni,”menurut kenyataan itu.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut Jabatan Tenaga Atom bagaimanapun mengesahkan tiada bacaan radioaktif dikesan di lokasi insiden.
Sehubungan itu, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihat tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran serta ancaman terhadap keselamatan awam.