ICU JPM nafi Poster “Geran Peralatan Usahawan’, bahan komunikasi rasmi

Maklumat kaedah permohonan yang dipaparkan adalah tidak tepat dan tidak boleh dijadikan rujukan rasmi

KUALA LUMPUR, 14 September – Orang ramai disaran tidak menyebarkan semula poster berkaitan ‘Geran Peralatan Usahawan’ yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

RINGKASAN BERITA AI
  • ICU JPM menafikan poster "Geran Peralatan Usahawan" itu adalah bahan komunikasi rasmi jabatan.
  • Maklumat kaedah permohonan dalam poster adalah tidak tepat dan tidak boleh dijadikan rujukan rasmi.
  • Sahkan maklumat melalui Pejabat ICU JPM Negeri dan akaun media sosial rasmi; penyebaran kandungan palsu boleh disabitkan di bawah Seksyen 233.

Peringatan itu dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi hantaran di Facebook dengan menafikan poster berkenaan, bahan komunikasi rasmi jabatan berkenaan.

“ICU mengambil maklum penyebaran poster berkenaan dan ia telah dihasil serta diedarkan oleh individu tanpa rujukan atau pengesahan jabatan.

“Maklumat berkaitan kaedah permohonan yang dipaparkan adalah tidak tepat dan tidak boleh dijadikan rujukan rasmi,”jelas hantaran berkenaan.

ICU JPM turut menegaskan sebarang maklumat berkaitan bantuan, geran atau inisiatif kerajaan perlu disemak melalui semua Pejabat ICU JPM Negeri serta akaun media sosial rasmi ICU JPM.

Penghasilan atau penyebaran kandungan palsu atau mengelirukan melalui kemudahan rangkaian boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Individu yang disabitkan dengan kesalahan terbabit boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.