Garis panduan penapisan kandungan Islam diperkukuh

Foto janaan AI

PUTRAJAYA, 14 September – Garis panduan penapisan kandungan bahan penyiaran berunsur islam akan diperkukuh dan ditambah baik secara berkala agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penapisan kandungan berteraskan prinsip syariah, nilai tatasusila dan kemaslahatan masyarakat.
  • Dibangunkan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang beserta libat urus berterusan bersama pihak berkepentingan.
  • Garis panduan khusus untuk filem dan drama, penekanan pendidikan serta mekanisme semakan syariah dan penyelarasan merentas platform.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu akan terus mengambil kira prinsip syariah, nilai tatasusila dan kemaslahatan masyarakat.

“Perbincangan tadi melihatkan ada pelbagai dimensi dan perspektif yang perlu kita tangani. Kita perlu ada satu pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Insya-Allah, libat urus ini akan diteruskan. Sebarang keputusan atau tindakan yang kita ambil, sekiranya mendapat pandangan daripada semua pihak, barulah kita dapat menghasilkan natijah yang tepat dan bersesuaian dengan konteks negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sidang Meja Bulat Industri Layar : Antara Kebebasan Berkarya dan Nilai Tatasusila yang turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahan Ahmad Fauwaz Fadzil dan para penggiat seni tanah air di sini.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, penambahbaikan itu termasuk membangunkan garis panduan yang lebih khusus dan terperinci bagi filem dan drama dengan memberi penekanan kepada aspek pendidikan, bimbingan dan solusi.

“Kita sebenarnya bukan mahu menghukum kerana garis panduan yang ada sudah jelas. Sebaliknya, kita mahu mengenal pasti dan merangka satu kerangka yang lebih besar bagi merapatkan jurang serta membimbing warga seni.

“Kita mahu mereka melihat bahawa agensi agama mengambil berat tentang mereka dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang turut bertanggungjawab terhadap negara ini,” katanya.

Semenatar itu wakil penggiat seni tanah air Sabri Yunus berpendapat, pertemuan seperti itu harus diadakan secara berkala sehingga mencapai titik temu dan persetujuan bersama, kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri

“Penggiat seni melihat karya sebagai satu bentuk hasil seni yang tentunya berbeza dari segi cara penyampaiannya, manakala asatizah pula mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza,” katanya.

Sidang itu juga telah menghasilkan lapan resolusi lain seperti menyelaras dan menyeragamkan kefahaman serta pelaksanaan garis panduan merentas media penyiaran serta platform digital dan mewujudkan mekanisme semakan syariah bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berautoriti agama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.