
PADAWAN, 14 September – Kira-kira 500 orang hadir mengiringi perjalanan terakhir mendiang jururawat Debra Moset, salah seorang daripada lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Baram, baru-baru ini.
- Lebih kurang 500 orang mengiringi perjalanan terakhir mendiang jururawat Debra Moset, mencerminkan penghormatan masyarakat setempat.
- Upacara disembahyangkan di Chapel St Patrick, Kampung Semedang, sebelum pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Semedang.
- Debra adalah antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter BO-105 berhampiran Lapangan Terbang STOLport Long Lellang.
Mendiang disembahyangkan sebelum upacara penghormatan terakhir disempurnakan di Chapel St Patrick, Kampung Semedang, hari ini.
Jasad mendiang kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Semedang untuk dikebumikan.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian apabila ahli keluarga, kenalan dan masyarakat setempat bersama-sama mengiringi mendiang ke tempat persemadian terakhir.
Mendiang Debra, 40, meninggalkan suami, John Then Hua, 44, serta dua anak, Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Kuling, 12.
Mendiang merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang pada Selasa lepas.
Selain Debra, nahas itu turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31; dan jururawat Jessie Paya Jok, 44.