
SUNGAI BULOH, 14 September – Kadar bayaran perkhidmatan pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian (M.V.15) di semua pusat pemeriksaan swasta berlesen kekal diseragamkan dan dikawal selia oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
- Pengendali dilarang bersaing melalui harga; persaingan hanya melalui mutu perkhidmatan dan kemudahan tambahan.
- JPJ akan menjalankan audit mengejut dan pemantauan berkala bagi menjamin integriti serta piawaian perkhidmatan pusat pemeriksaan berlesen.
- Pembukaan pasaran selepas konsesi tunggal memperbanyak pilihan rakyat; CARSOME Academy pusat M.V.15 pertama dikendalikan institusi TVET.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tiada pengendali dibenarkan bersaing dari segi harga, bagaimanapun persaingan antara pengendali adalah menerusi mutu perkhidmatan.
“Kita tidak membenarkan mana-mana pusat pemeriksaan mengenakan caj melebihi kadar yang ditetapkan bagi melindungi pengguna.
“Pada masa sama, kita mengelak persaingan harga yang berisiko merosakkan kelangsungan perniagaan serta mewujudkan persekitaran yang tidak munasabah kepada pemain industri.
“Tetapi mungkin dari segi persaingan perkhidmatan. Umpamanya jika pusat pemeriksaan menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa, berhawa dingin, atau menyediakan minuman dan kemudahan sampingan, itu terpulang kepada pengurusan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan M.V.15 CARSOME Academy di hab pengedar CARSOME, di sini.
Tambah beliau, pihaknya bersama JPJ akan melaksanakan audit mengejut serta pemantauan secara berkala terhadap semua pengendali berlesen bagi menjamin integriti serta piawaian perkhidmatan.
Dalam perkembangan sama, Loke memaklumkan pembukaan pasaran perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor melepasi konsesi tunggal yang tamat pada 31 Ogos 2024 terbukti memberikan manfaat besar kepada rakyat menerusi kepelbagaian pilihan perkhidmatan.
Menurut beliau, pembukaan pusat pemeriksaan berlesen oleh CARSOME Academy itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pusat M.V.15 pertama dikendalikan sebuah institusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) automotif, selari dengan agenda Kerajaan MADANI untuk memperkasakan TVET sebagai laluan kerjaya pilihan utama.