
SHAH ALAM, 14 September – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati dia mengalami ketidakwarasan mental ketika kejadian.
- Mahkamah memerintahkan remaja dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menerima rawatan psikiatri sehingga penilaian lanjut.
- Mahkamah melepaskan beliau daripada pertuduhan membunuh atas alasan tidak waras mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
- Pakar forensik mengesahkan skizofrenia serius menyebabkan psikosis, halusinasi, bunyi suara dan delusi kebesaran pada ketika kejadian.
- Sebaik rawatan, hospital akan hantar laporan penilaian; sebarang pemulangan kepada masyarakat tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor.
Hakim Adlin Abdul Majid turut memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani rawatan psikiatri.
Mahkamah menetapkan sebarang keputusan untuk membolehkan remaja itu kembali kepada masyarakat adalah tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor.
Peguam bela, Kitson Foong berkata, mahkamah menerima keterangan pakar psikiatri bahawa anak guamnya mengalami ‘medical insanity’ ketika kejadian, sekali gus memenuhi aspek ‘legal insanity’ di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
“Keputusan pada akhirnya adalah bahawa penama dibebaskan daripada pertuduhan membunuh atas sebab beliau tidak waras. Perintah mahkamah adalah supaya beliau dihantar ke sebuah hospital psikiatri untuk dirawat sehingga Sultan Selangor menerima laporan yang mengatakan beliau boleh dipulangkan kepada masyarakat. Itu adalah keputusan terakhir mahkamah dalam kes ini,”katanya.
Tambah beliau, pihak pembelaan mengemukakan dua saksi sepanjang perbicaraan, iaitu remaja berkenaan dan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, manakala pihak pendakwaan memanggil 11 saksi.
“Ya, memang. Disahkan oleh doktor pakar psikiatri sendiri dalam laporan bertulis dan juga di mahkamah semasa memberi keterangan dan dia disoal balas oleh pendakwa. Bahawa dia memang menghidap skizofrenia yang sangat serius dan agresif yang menyebabkan dia mengalami psikosis ketika kejadian,”katanya.
Keadaan itu menyebabkan remaja berkenaan mengalami halusinasi, termasuk mendengar suara serta percaya dirinya sebagai dewa.
Remaja berkenaan akan menjalani rawatan di hospital berkenaan, manakala pihak hospital akan menyediakan laporan mengenai perkembangan rawatan dan tahap kesesuaiannya untuk kembali kepada masyarakat.
Terdahulu, pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan remaja itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.
Remaja berkenaan didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun itu di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.
Mangsa dilaporkan mengalami kira-kira 180 kesan tikaman dalam kejadian berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak ketika kesalahan dilakukan.
Tertuduh diwakili Kitson Foong, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.