
KUALA LUMPUR, 14 September – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan pelupusan wang milik Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah lebih RM860 juta.
- Jamil Khir, 65, bekas Ahli Parlimen Jerai, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
- Didakwa menyebabkan TH melupuskan tiga jumlah wang: RM42,942,074; RM288,172,134.64; RM529,194,561.87.
- Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, hukuman penjara 6 bulan hingga 5 tahun, sebat dan denda jika sabit.
Jamil Khir, 65 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyebabkan TH melupuskan sejumlah wang kepada kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd ( Al-Rawda).
Jumlah keseluruhan wang yang didakwa terlibat ialah RM860,308,770.51, bersamaan kira-kira SAR766 juta (Riyal Saudi).
Bekas Ahli Parlimen Jerai itu didakwa melakukan kesalahan itu pada tiga tarikh berasingan, masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017, di Pejabat Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Blok A Kompleks Islam di Putrajaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebat
serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 5 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Jamil Khir sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan.
Laporan RCI TH yang didedahkan pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu juga menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik yang turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Media juga melaporkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.
Daripada jumlah itu, pelaburan TH dengan Al-Rawda merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.