
NEW DELHI, 13 September – Malaysia mengulangi pendirian bahawa konflik di Asia Barat tidak boleh dibiarkan terus menjejaskan kestabilan global sebaliknya, kedaulatan negara mesti dihormati, orang awam dilindungi dan nadi ekonomi global tidak boleh dijadikan medan peperangan.
- BRICS mesti tegas tangani konflik Asia Barat untuk elak merebak dan lindungi kestabilan ekonomi global.
- Hormati kedaulatan negara dan lindungi orang awam; pengaruh besar harus digunakan untuk menahan pencerobohan dan keganasan.
- BRICS harus konsisten kecam penjajahan dan kolonialisme serta gunakan kuasa kolektif untuk mengukuhkan pilihan strategik anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesan konflik turut dirasai negara yang tidak terlibat secara langsung, termasuk berdepan inflasi yang lebih tinggi dan ketidaktentuan ekonomi.
Selain itu, pertumbuhan inklusif dan kemakmuran tidak dapat dicapai sekiranya konflik terus menjejaskan rantaian ekonomi global.
“Pencerobohan yang dilakukan Israel di Asia Barat kini telah memberi kesan jauh melampaui pihak-pihak yang terlibat dalam konflik ini.
“Pendirian Malaysia jelas, kedaulatan mesti dihormati, orang awam mesti dilindungi dan nadi ekonomi global mesti dijauhkan daripada medan peperangan.
“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi keadaan mempunyai tanggungjawab khusus untuk menghalang konflik daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pimpinan dunia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di sini hari ini.
Malaysia berharap BRICS terus konsisten menyatakan pendirian jelas terhadap penjajahan, kolonialisme dan keganasan di kawasan konflik.
“Tiada nyawa yang seharusnya dianggap lebih rendah nilainya hanya kerana tempat seseorang itu hidup. Pengaruh tidak seharusnya menjadi matlamat mutlak. Sebaliknya pengaruh perlu digunakan bagi menegakkan prinsip yang dijunjung bersama.
“BRICS mempunyai keupayaan memperluaskan pilihan strategik negara anggota serta mengukuhkan keupayaan mereka mencorakkan persekitaran geopolitik,” katanya lagi.