
SIK, 10 September – Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- Ditahan di Depot Imigresen Belantik sebelum proses penghantaran pulang.
- Terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Kemboja dan Kenya.
- Melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen; telah menjalani hukuman sebelum dihantar pulang.
- Kos tiket ditanggung oleh tahanan, ahli keluarga dan kedutaan; semua dikenakan senarai hitam bagi menghalang kemasukan semula.
Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kedah dalam kenyataan berkata, kesemua mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik di sini.
Jelasnya, PATI berkenaan terdiri daripada 117 lelaki, 21 wanita dan dua kanak-kanak lelaki, masing-masing dari Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Kemboja dan Kenya.
“Kesemua warga asing terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sebelum proses pemindahan dilaksanakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kos tiket penerbangan bagi proses penghantaran pulang berkenaan ditanggung oleh tahanan, ahli keluarga serta kedutaan negara masing-masing.
Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI berkenaan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem JIM bagi menghalang sebarang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang.
Program pemindahan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan JIM Negeri Kedah dalam usaha membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.
“Tindakan penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI terus dipergiat bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara,” tegas kenyataan itu lagi.