Belum masuk kuliah, sudah berhutang

Gambar hiasan/FB UKM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • WPP membantu akses awal tetapi berbentuk pinjaman, menyebabkan pelajar miskin bermula dengan hutang sebelum kuliah.
  • Pertimbangan antara kesamarataan formal dan kesaksamaan substantif; tempat tidak bermakna jika pelajar tiada kemampuan untuk memanfaatkannya.
  • Kos untuk sampai ke universiti meliputi tambang, peralatan dan sara hidup awal yang sering terabaikan dan menjejaskan penyertaan sebenar.
  • Cadangan dasar: geran permulaan bersasar untuk isi rumah termiskin supaya akses menjadi bantuan bukan liabiliti kewangan.

Pada 7 September 2026, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan bahawa 26,457 pelajar baharu akan memasuki program Ijazah Sarjana Muda di universiti awam dan politeknik.

Kemasukan bagi sesi September itu bakal menerima manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 seorang. Keseluruhan peruntukan yang terlibat berjumlah RM39.7 juta. Langkah itu wajar dihargai.

Seorang anak yang menerima tawaran ke universiti memerlukan wang sebelum sempat menghadiri kuliah pertamanya. Ada tambang perjalanan, keperluan pendaftaran, kelengkapan pengajian, keperluan asrama, pakaian, makan minum dan pelbagai perbelanjaan awal lain.

Bagi keluarga yang berada, semua itu mungkin dianggap sebagai kos biasa ketika anak melangkah ke universiti.

Bagi keluarga yang hidup dengan pendapatan yang terbatas, perbelanjaan yang sama boleh menentukan sama ada surat tawaran benar-benar dapat diterjemahkan menjadi kehadiran di kampus.

Di sinilah WPP memainkan peranan yang penting. Namun, di sebalik manfaat tersebut terselit satu persoalan dasar yang jauh lebih besar:

Mengapakah anak daripada keluarga yang paling memerlukan bantuan masih perlu memulakan perjalanan ke universiti dengan berhutang hanya untuk membolehkan dirinya sampai ke universiti?

Persoalan ini bukan serangan terhadap PTPTN. Sebaliknya, kewujudan WPP sendiri membuktikan bahawa terdapat suatu masalah sebenar yang perlu diakui.

Menerima tawaran ke universiti tidak semestinya bererti seseorang mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil peluang itu.

PTPTN menetapkan bahawa WPP sebanyak RM1,500 diberikan sebagai persediaan sebelum pelajar mendaftar ke institusi pengajian tinggi, dengan kelayakan antara lain melibatkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Tetapi WPP bukan geran. Ia ialah pinjaman. Apabila pinjaman PTPTN pelajar diluluskan, RM500 dipotong daripada pengeluaran pinjaman bagi setiap semester sehingga jumlah pendahuluan itu selesai dibayar.

Ertinya, bagi pelajar yang menggunakannya, perjalanan pendidikan tinggi boleh bermula dengan suatu liabiliti kewangan bahkan sebelum kuliah pertama berlangsung.

Ini membawa kita kepada satu perbezaan penting yang sering terlepas dalam perbahasan tentang akses pendidikan tinggi; akses pada nama dengan akses yang sebenar.

Seseorang boleh diberikan tempat di universiti. Tetapi pemberian tempat sahaja belum menghapuskan segala halangan yang memisahkan seorang anak daripada peluang pendidikan tersebut.

Bayangkan dua orang pelajar menerima surat tawaran pada hari yang sama.

Yang pertama datang daripada keluarga yang mampu menyediakan tambang perjalanan, komputer riba, wang pendaftaran, keperluan asrama dan wang belanja untuk beberapa bulan pertama.

Yang kedua datang daripada keluarga yang setiap bulan perlu mengira dengan cermat sama ada pendapatan yang ada mencukupi untuk makanan, sewa rumah, bil utiliti dan pengangkutan.

Di atas kertas, kedua-duanya telah diberikan peluang yang sama. Dalam kehidupan sebenar, mereka sama sekali tidak bermula dari kedudukan yang sama.

Di sinilah letaknya beza antara kesamarataan formal dengan kesaksamaan substantif. Kesamarataan formal berhenti apabila dua orang diberikan peluang yang sama.

Kesaksamaan substantif bertanya lebih jauh; adakah kedua-duanya benar-benar mempunyai kemampuan untuk memanfaatkan peluang itu?

Ini bukan soal belas ihsan. Ini soal reka bentuk dasar. Kemiskinan mempunyai kos yang sering tidak kelihatan pada surat tawaran universiti.

Seorang pelajar daripada keluarga berada tidak perlu memikirkan sama ada wang tambang ke kampus akan mengurangkan belanja dapur keluarganya.

Dia mungkin sudah mempunyai komputer riba. Sekiranya berlaku kecemasan, ada keluarga yang dapat membantu.

Bagi keluarga berpendapatan rendah, setiap perbelanjaan mempunyai kesan yang lebih besar.

RM300 bukan sekadar RM300. Ia mungkin wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan rumah.

RM1,500 bukan sekadar sejumlah wang permulaan. Bagi sesetengah keluarga, ia mungkin jumlah yang sukar dikumpulkan tanpa mengorbankan keperluan asas yang lain.

Sebab itulah apabila kita bercakap tentang “kos pendidikan tinggi”, kita tidak sepatutnya hanya melihat yuran pengajian. Ada satu lagi kos yang kurang diberikan perhatian: kos untuk sampai ke universiti.

Kos perjalanan. Kos berpindah. Kos mempunyai peralatan asas untuk belajar. Kos untuk bertahan sementara menunggu pinjaman, biasiswa atau bantuan lain diterima.

Kos yang terpaksa dikeluarkan untuk menukarkan sebuah surat tawaran menjadi tempat duduk sebenar di dalam dewan kuliah. Dengan kata lain, negara mungkin telah membuka pintu universiti.

Tetapi bagi sesetengah anak, masih ada tol kewangan yang perlu dibayar sebelum mereka dapat melangkah masuk.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 meletakkan keterangkuman dan akses sebagai antara agenda penting pendidikan tinggi negara.

PTPTN pula telah memainkan peranan yang sangat besar dalam meluaskan peluang tersebut. RPTM merekodkan bahawa sehingga Julai 2024, PTPTN telah menyalurkan RM72.95 bilion pinjaman kepada hampir empat juta penerima.

Sumbangan itu tidak boleh dipandang kecil. Tanpa PTPTN, ramai anak Malaysia mungkin tidak pernah mempunyai peluang menamatkan pendidikan tinggi.

Namun justeru kerana peranannya begitu penting, kita wajar mula bertanya satu soalan yang lebih matang:

Adakah semua bentuk bantuan kewangan kepada pelajar miskin semestinya perlu berbentuk hutang?

Di sinilah kita perlu membezakan antara pembiayaan pendidikan dengan pembiayaan akses kepada pendidikan.

Pinjaman pendidikan mempunyai justifikasi tertentu. Seorang graduan memperoleh manfaat peribadi daripada kelayakan yang diterimanya dan, apabila berkemampuan kemudian, boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar semula sebahagian daripada pembiayaan tersebut.

Namun kos awal yang membolehkan seorang anak miskin sampai ke kampus mempunyai sifat yang berbeza. Itu bukan semata-mata pembiayaan pendidikan. Itu ialah pembiayaan kepada kemampuan untuk mengambil peluang pendidikan.

Sebab itulah sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan suatu Geran Permulaan Pendidikan Tinggi yang bersasar. Ia tidak perlu diberikan kepada semua pelajar. Ia juga tidak perlu menggantikan WPP.

WPP boleh terus wujud bagi mereka yang memerlukan kemudahan pendahuluan. Namun bagi isi rumah termiskin yang dapat dikenal pasti melalui pangkalan data bantuan sosial negara, sebahagian atau keseluruhan kos permulaan memasuki universiti wajar dipertimbangkan dalam bentuk geran yang tidak perlu dibayar semula.

Nilainya juga tidak semestinya besar.

Hakikatnya, RM1,500 dalam bentuk geran mempunyai makna yang sangat berbeza daripada RM1,500 dalam bentuk pinjaman kepada sebuah keluarga miskin.

Yang satu memberikan tapak untuk bermula. Yang satu lagi memberikan tapak yang perlu dibayar kemudian. Dasar sebegini juga tidak harus dinilai sekadar berdasarkan bilangan mahasiswa yang berjaya mendaftar.

Kita harus melihat apa yang berlaku selepas mereka berada di kampus.

Adakah mahasiswa mempunyai wang untuk makan dengan mencukupi?

Adakah mereka mempunyai peranti yang membolehkan mereka mengikuti pembelajaran?

Adakah mereka terpaksa bekerja terlalu lama demi menampung kos hidup sehingga pengajian terganggu?

Adakah bantuan kewangan tiba pada waktu yang diperlukan?

Adakah terdapat pelajar yang gagal bukan kerana mereka kurang pintar atau kurang rajin, tetapi kerana mereka tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk bertahan?

Persoalan-persoalan ini membawa kita kepada suatu perbincangan yang lebih besar mengenai merit. Kita sering mengatakan kemasukan ke universiti harus berasaskan merit.

Benar. Tetapi merit tidak pernah berkembang dalam ruang kosong.

Seorang anak yang mencapai keputusan cemerlang sambil berkongsi peranti dengan adik-beradik, membantu keluarga mencari nafkah dan belajar dalam keadaan yang serba terbatas mungkin telah menunjukkan daya tahan serta kecemerlangan yang tidak sepenuhnya tercermin dalam satu nombor peperiksaan.

Mendapat tempat di universiti juga bukan penamat kepada perjalanan mobiliti sosial. Bagi ramai anak keluarga berpendapatan rendah, itulah titik di mana perjuangan yang baharu bermula.

Sebab itulah sebuah sistem pendidikan tinggi yang benar-benar adil tidak boleh berhenti pada ayat:

“Kami sudah memberikan tempat.” Tempat sahaja tidak mencukupi jika seorang pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk mengambilnya.

Negara tentu tidak mampu menanggung setiap perbelanjaan setiap mahasiswa. Itu bukan hujah saya.

Namun negara mempunyai kepentingan yang nyata untuk memastikan kemiskinan tidak menjadi halangan terakhir antara seorang anak yang telah berjaya secara akademik dengan pendidikan yang telah ditawarkan kepadanya.

WPP sebanyak RM1,500 ialah suatu ikhtiar yang berguna. Ia wajar diteruskan. Tetapi kewujudannya juga seharusnya membuatkan kita melihat masalah yang cuba diselesaikannya.

Jika puluhan ribu mahasiswa memerlukan wang pendahuluan sebelum dapat memasuki universiti, pertanyaan dasar kita tidak sepatutnya berhenti pada bagaimana pinjaman itu dapat disalurkan dengan lebih cepat.

Kita juga perlu bertanya:

Mengapakah kos untuk sampai ke universiti masih cukup besar sehingga anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan terpaksa berhutang untuk menanggungnya?

Pendidikan tinggi sepatutnya menjadi salah satu jalan paling penting untuk memutuskan kitaran kemiskinan.

Jangan biarkan perjalanan menuju ke jalan keluar itu sendiri bermula dengan hutang.

Mereka telah berusaha sehingga memperoleh tempat di universiti. Mereka telah melepasi peperiksaan. Mereka telah memenuhi syarat kemasukan. Mereka telah memenangi peluang itu.

Yang tinggal hanyalah memastikan kemiskinan tidak mengenakan harga tambahan hanya kerana mereka mahu mengambil peluang yang telah mereka usahakan sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: shahrulmizan@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.