
KUALA LUMPUR, 11 September – Koperasi kredit tempatan perlu memperkukuh keupayaan dalam aspek inovasi, operasi, tadbir urus dan pengurusan risiko bagi memastikan sektor itu kekal relevan seiring perkembangan teknologi.
- Pindaan Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 sedang dikaji untuk membina ekosistem koperasi lebih berdaya tahan.
- Pemudahan birokrasi memudahkan koperasi mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan dengan pengawasan minimum.
- Pengukuhan kawalan dalaman dan tadbir urus bagi koperasi kredit, sambil memberi autonomi serta fleksibiliti operasi untuk bersaing.
- Kerangka perundangan baru memformalkan transaksi digital, mesyuarat agung dalam talian dan penggunaan aplikasi teknologi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, usaha berkenaan turut memerlukan penyesuaian terhadap kerangka perundangan sedia ada agar lebih selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap ekonomi.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan sektor koperasi mampu berdepan cabaran semasa termasuk kemajuan teknologi yang pesat, ketidaktentuan politik global, perubahan iklim serta perkembangan geopolitik.
“Transformasi tidak akan berlaku tanpa kita menangani kerangka perundangan bagi mengatasi realiti yang tidak diperkatakan seperti yang saya sebutkan tadi, termasuk undang-undang dan peraturan yang sudah tidak lagi selari dengan perkembangan semasa.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini sedang mengkaji semula serta meminda Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007.
“Kita sedang melakukan transformasi terhadap undang-undang bagi membina ekosistem koperasi yang lebih berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada Forum Kesatuan Kredit Asia 2026 di sini, hari ini.
Jelas beliau, pindaan berkenaan akan menyediakan ekosistem koperasi yang lebih holistik, termasuk memudahkan proses birokrasi, sekali gus membolehkan koperasi mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan pelaburan dengan pengawasan minimum.
Beliau berkata, langkah itu juga akan memperkukuh kawalan dalaman dan tadbir urus, khususnya bagi koperasi kredit, selain memberikan autonomi serta fleksibiliti operasi kepada koperasi untuk bersaing dengan bank komersial.
“Dalam masa sama, kerangka perundangan baharu itu akan memformalkan transaksi digital, mesyuarat agung secara dalam talian serta penggunaan aplikasi teknologi,” katanya lagi.
Forum Kesatuan Kredit Asia 2026 itu menghimpunkan lebih 570 delegasi dari 22 negara Asia bagi membincangkan masa depan, transformasi dan daya tahan koperasi kredit di rantau ini.
Forum itu turut memberi tumpuan kepada cabaran semasa seperti pendigitalan perkhidmatan kewangan, inflasi, ketidaktentuan ekonomi, perubahan keperluan anggota serta pengukuhan tadbir urus dan pengurusan risiko.