Bolivia tamatkan subsidi bahan api menjelang 2027 di bawah perjanjian IMF

Foto REUTERS

LA PAZ, 11 September – Bolivia bersetuju menamatkan semua subsidi bahan api menjelang 2027 sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman bernilai AS$1.9 bilion dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menurut kerajaan pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan baru Rodrigo Paz mencapai perjanjian IMF termasuk pinjaman 36 bulan untuk memulihkan kedudukan kewangan negara.
  • Syarat utama ialah penghentian subsidi bahan api yang membebankan rizab mata wang asing dan mengganggu kemampuan import.
  • Kerajaan akan tingkatkan peruntukan program sosial untuk mengurangkan kesan kenaikan harga; perjanjian perlu kelulusan Kongres.

Perjanjian itu dicapai dengan kerajaan baharu pimpinan Presiden berhaluan kanan Rodrigo Paz, yang menurut IMF bersetuju menerima pinjaman selama 36 bulan bagi membantu negara Andes itu memulihkan kedudukan kewangannya.

Antara syarat utama perjanjian ialah penamatan subsidi bahan api yang selama ini memberi tekanan besar kepada rizab mata wang asing Bolivia, sehingga kerajaan berdepan kekurangan dana untuk mengimport bahan api dan barangan keperluan lain.

Tidak lama selepas memegang jawatan pada November tahun lalu, Paz mengumumkan pemansuhan subsidi dengan menaikkan harga bahan api domestik supaya selari dengan harga antarabangsa.

Bagaimanapun, apabila harga minyak dunia melonjak susulan perang di Asia Barat, kerajaan sekali lagi menggunakan dana negara untuk menampung perbezaan antara harga antarabangsa dan harga domestik.

Di bawah perjanjian dengan IMF, kerajaan tidak lagi dibenarkan mengekalkan harga bahan api pada paras rendah.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap rakyat, kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi beberapa program sosial.

Perjanjian itu bagaimanapun masih perlu diluluskan oleh Kongres Bolivia.

Menteri Ekonomi, Christian Morales berkata Bolivia bukan melaksanakan arahan IMF, sebaliknya mengambil langkah yang “perlu untuk keluar daripada kemelut yang diwarisi” daripada kerajaan berhaluan kiri sebelum ini.

Baru-baru ini, Paz menggandakan harga diesel bagi pengguna berskala besar seperti petani, dengan alasan kegiatan penyeludupan bahan api rentas sempadan menyumbang kepada kekurangan bekalan.

Kenaikan itu mencetuskan bantahan, namun setakat ini belum berlaku semula demonstrasi besar-besaran dan sekatan jalan raya seperti pada Mei dan Jun yang melumpuhkan sebahagian kawasan negara itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.