
KUALA LUMPUR, 18 November – Tabung Haji (TH) melaksanakan tadbir urus dan pelaburan secara berhemah menerusi proses penelitian dan kelulusan secara berperingkat bagi mengimbangi pelaburan.
- Hampir 90 peratus aset TH tertumpu di pasaran domestik, baki lebih 10 peratus dilaburkan di pasaran global.
- Nilai aset meningkat 27 peratus kepada RM96.4 bilion pada 2025 berbanding RM75.8 bilion sebelum ini.
- Kadar agihan keuntungan meningkat kepada 3.5 peratus pada 2025, disokong strategi Strategic Asset Allocation dan pengurusan risiko.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli memaklumkan hampir 90 peratus aset pelaburan TH tertumpu dalam pasaran domestik, manakala baki lebih 10 peratus dilaburkan di pasaran global.
Beliau menjelaskan prestasi kewangan Lembaga TH terus menunjukkan perkembangan positif dan dibuktikan menerusi peningkatan nilai aset pelaburan TH sebanyak 27 peratus kepada RM96.4 bilion pada 2025, berbanding RM75.8 bilion sebelum ini.
“Setiap cadangan pelaburan akan diteliti oleh pelbagai pihak, termasuk pihak pengurusan, panel pelaburan dan lembaga sebelum dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangan dan kelulusan, tertakluk kepada had kuasa serta keperluan kelulusan yang berkuat kuasa.
“Penekanan terhadap aspek pengurusan, pemantauan risiko dan pematuhan syariah dalam setiap pelaburan sentiasa diambil kira dan diberi perhatian serius oleh Tabung Haji,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Kuala Kedah) yang meminta kerajaan untuk menyatakan langkah komprehensif diambil oleh Tabung Haji (TH) dalam mengimbangi pelaburan domestik dan global bagi memastikan agihan nilai hibah yang kompetitif di sebalik ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia ketika ini.
Jelasnya, hasil tindakan yang diambil TH telah berjaya meningkatkan prestasi kewangan serta keupayaannya untuk mengagihkan keuntungan secara lebih lestari dan konsisten
Beliau memaklumkan kadar agihan keuntungan TH juga meningkat kepada 3.5 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun, berbanding 1.25 peratus pada 2018.
“Pencapaian itu disokong strategi pelaburan berasaskan rangka ‘Strategic Asset Allocation’ (SAA), yang mengambil kira tahap toleransi risiko bersesuaian bagi memastikan dana simpanan pendeposit diuruskan secara berhemah,” tambah beliau.