
SHENZHEN, 18 November – Kerangka kerjasama pelbagai hala global perlu dirombak bagi memastikan negara kecil dan ekonomi sedang pesat membangun dilayan dengan penuh hormat, bermaruah serta saksama dalam arus perdagangan antarabangsa, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Era penjajahan dan imperialisme telah berlalu; rantau kini lebih yakin menentukan hala tuju ekonominya tanpa sebarang paksaan.
- Komuniti antarabangsa tidak boleh meminggirkan aspirasi negara membangun yang mahukan akses pasaran dan perkongsian teknologi yang saksama.
- Malaysia menghargai kepimpinan Beijing dan peluang pasaran China; delegasi akan adakan pertemuan perniagaan dan perbincangan tertinggi untuk kerjasama strategik.
Beliau menekankan era penjajahan dan imperialisme sudah lama berlalu, justeru rantau ini telah memasuki fasa baharu yang lebih yakin dan tegas dalam menentukan hala tuju ekonominya tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 bertemakan “Membina Keterbukaan Saksama di Asia-Pasifik” di sini, Datuk Seri Anwar berkata komuniti antarabangsa tidak boleh terus meminggirkan aspirasi negara membangun yang mahukan akses pasaran serta perkongsian teknologi yang adil.
“Keseluruhan kerangka pelbagai hala mesti berubah. Kita telah melepasi era penjajahan dan imperialisme. Kita kini memasuki era baharu dengan lebih keyakinan dan ketegasan. Negara kecil serta ekonomi sedang pesat membangun mesti dilayan dengan penuh hormat, bermaruah, dan saksama,” katanya.
Mengulas ucapan dasar Presiden China, Xi Jinping sebelum itu, Perdana Menteri memuji kepimpinan Beijing yang disifatkan konsisten dalam memperjuangkan kerjasama dua hala serta pelbagai hala yang jelas, selain memahami kebimbangan ekonomi sedang membangun.
Menurutnya, sebagai sebuah negara dagang yang mencatatkan pelaburan serta perdagangan tinggi bersama Amerika Syarikat (AS) di samping terus berkembang pesat dengan China, Malaysia amat menghargai kesediaan Beijing membuka ruang pasaran domestiknya.
Datuk Seri Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dalam rangka lawatan kerja tiga harinya ke Shenzhen.
Selepas sesi ucaptama tersebut, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan tiga pertemuan perniagaan bersemuka bersama peneraju syarikat teknologi utama China, termasuk Fastprint, Kingfa dan China General Nuclear Power Group (CGN), sebelum menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).
Selain sesi pemukiman utama bersama barisan pemimpin ekonomi APEC esok, beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, serta perbincangan peringkat tertinggi bersama Presiden China, Xi Jinping, bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik termasuk semikonduktor, AI, dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).