Algeria putuskan hubungan diplomatik dengan UAE

Foto REUTERS

ALGIERS, 11 September – Algeria pada Khamis memutuskan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan mendakwa Abu Dhabi melakukan beberapa tindakan yang disifatkan sebagai provokatif, namun tidak menyatakan secara khusus punca keputusan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Duta UAE ke Algeria dipanggil ke Kementerian Luar, dimaklumkan mengenai keputusan itu dan diberi tempoh 48 jam.
  • Algeria menutup ruang udaranya kepada semua pesawat berdaftar UAE mulai Jumaat; pengecualian bagi penerbangan komersial sehingga akhir 2026.
  • Ketegangan berpunca daripada percanggahan dasar mengenai normalisasi dengan Israel, sokongan UAE kepada tuntutan Maghribi atas Sahara Barat, dan persaingan di Sahel.

Kementerian Luar Algeria berkata tindakan UAE sudah mencapai tahap yang tidak lagi boleh diterima, selain mendakwa semua usaha untuk mengekalkan hubungan dua hala kedua-dua negara telah dilakukan.

Duta UAE ke Algeria dipanggil ke Kementerian Luar dan dimaklumkan mengenai keputusan itu, sebelum diberikan tempoh 48 jam untuk mematuhinya.

Berikutan keputusan itu, Algeria akan menutup ruang udaranya kepada semua pesawat awam dan ketenteraan berdaftar UAE mulai Jumaat, menurut laporan stesen televisyen Ennahar yang memetik Kementerian Pertahanan Algeria.

Bagaimanapun, penerbangan komersial UAE dari dan ke Algiers dikecualikan daripada larangan itu sehingga akhir 2026, apabila kontrak sedia ada tamat.

Sementara itu, Kementerian Luar UAE berkata Abu Dhabi berharap keputusan Algeria memutuskan hubungan diplomatik itu hanya bersifat sementara.

UAE turut menegaskan komitmennya untuk mengekalkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara serta kepentingan bersama.

Hubungan Algeria dan UAE semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan media Algeria lantang mengkritik UAE dan menuduh negara itu cuba mencetuskan perpecahan di rantau Asia Barat.

Penasihat diplomatik Presiden UAE, Anwar Gargash, berkata hubungan diplomatik perlu berasaskan “rasionaliti, komunikasi dan kejelasan kepentingan”, bukannya “teka-teki dan isyarat yang memerlukan tafsiran”.

Beliau, bagaimanapun, tidak menyebut Algeria secara khusus atau mengaitkan kenyataannya dengan keputusan negara itu.

Algeria dan UAE mempunyai pendirian berbeza dalam beberapa isu serantau, termasuk hubungan dengan Israel dan pertikaian berhubung Sahara Barat.

Algeria turut menentang dasar normalisasi hubungan dengan Israel, menyaksikan UAE menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham yang dipelopori Amerika Syarikat pada 2020.

Dalam isu Sahara Barat, UAE menyokong tuntutan Maghribi terhadap kedaulatan wilayah itu dan mempunyai konsulat di sana, manakala Algeria menyokong Barisan Polisario yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara Barat.

Kepentingan kedua-dua negara turut semakin bertembung di Sahel, ketika UAE memperluas hubungan dengan beberapa kerajaan di rantau itu, manakala hubungan Algeria dengan sebahagian negara jirannya di selatan menjadi tegang selepas beberapa rampasan kuasa tentera.

Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune pada tahun lalu berkata hubungan negaranya dengan semua negara Teluk adalah baik kecuali sebuah negara, yang dipercayai merujuk kepada UAE.

Beliau menyifatkan hubungan dengan Arab Saudi, Kuwait, Oman dan Qatar sebagai “persaudaraan”, namun menuduh negara yang tidak dinamakan itu mencampuri urusan dalaman Algeria dan cuba menggugat kestabilannya.

Pada Februari lalu, Algeria turut memulakan proses membatalkan perjanjian perkhidmatan udara dengan UAE yang ditandatangani di Abu Dhabi pada Mei 2013. -REUTERS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.