Sembunyi kelahiran: Mayat bayi lelaki ditemui dalam lokar asrama

Foto PDRM

DUNGUN, 11 September – Seorang pelajar berusia 19 tahun dipercayai mengalami keguguran sebelum melahirkan seorang bayi lelaki di tandas sebuah asrama institusi pendidikan di Dungun, Terengganu, malam Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayi dibungkus dengan kain, dimasukkan ke dalam beg dan disembunyikan dalam loker asrama.
  • Kejadian terbongkar selepas pengurusan masjid menghubungi institusi kerana pelajar meminta bantuan menguruskan pengebumian bayi.
  • Polis siasat dengan bantuan Unit Forensik, ambil keterangan saksi, kes disiasat mengikut Seksyen 318; mayat dibawa untuk bedah siasat.

Bayi berkenaan kemudian dipercayai dibungkus dengan kain, dimasukkan ke dalam sebuah beg dan disembunyikan di dalam lokar asrama berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 10.48 malam semalam.

Menurutnya, kejadian terbongkar selepas pihak pengurusan sebuah masjid menghubungi pengurusan institusi berkenaan selepas pelajar terbabit meminta bantuan untuk menguruskan pengebumian bayi itu.

Beliau berkata, polis kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian dan akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan.

“Polis turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.”

Nik Ab Halim berkata, polis juga sedang mengesan teman lelaki pelajar berkenaan untuk diambil keterangan.

Mayat bayi itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.