
BATU BERENDAM, 11 September – Polis Melaka menahan tiga lelaki warganegara China yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari negara berkenaan.
- Polis merampas sebuah komputer riba, 23 telefon bimbit, satu penghala WiFi, dua buku nota dan dua rak kayu.
- Sindiket dipercayai beroperasi sejak awal Ogos, menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan mencari mangsa menerusi aplikasi TikTok.
- Tugasan melibatkan tekan like pada iklan dan bermain permainan Aether Swap; komunikasi kemudian diambil alih untuk memerdaya mangsa.
- Gaji sekitar RM3,000 dibayar melalui WeChat Wallet; kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Akta Imigresen; direman empat hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt. Azrul Mohamed berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua premis berasingan di Melaka Raya, Melaka, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah komputer riba, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set penghala WiFi, dua buku nota dan dua rak kayu dalam serbuan berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal Ogos lalu dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi mencari mangsa menerusi aplikasi TikTok.
“Suspek menawarkan pekerjaan dalam talian dengan memberikan tugasan termasuk menekan tanda suka (like) pada iklan dan bermain permainan dalam talian Aether Swap, sebelum menjanjikan komisen atau keuntungan kepada mangsa.
“Setelah suspek berjaya mendapatkan mangsa yang berminat untuk melaksanakan tugasan yang diberikan, komunikasi dengan mangsa akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket yang sama bagi meneruskan proses pemerdayaan hingga mangsa melakukan transaksi kewangan.
“Kesemua suspek menerima gaji lebih kurang anggaran RM3,000 dan dibayar melalui WeChat Wallet selama satu bulan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Batu Berendam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 September bagi membantu siasatan.