
KUANTAN, 11 September – Dua bekas pekerja sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Taman Cenderawasih Indah, di sini, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan berasingan bertindak secara cuai dan menganiaya dua kanak-kanak lelaki.
- Norlida didakwa cuai sehingga menyebabkan kecederaan emosi kepada kanak-kanak lelaki 2 tahun 7 bulan pada 15 Mei di sebuah TASKA.
- Zairifah didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki 2 tahun 8 bulan pada 11 Ogos, mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi di TASKA yang sama.
- Kedua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun; ikat jamin RM8,000.
Tertuduh Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Norlida didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan, bertindak secara cuai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 4.30 petang, 15 Mei lalu di sebuah TASKA di Taman Cenderawasih Indah.
Sementara itu, Zairifah didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan, menganiaya mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2.30 petang, 11 Ogos lalu di TASKA yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari, mencadangkan wang jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin bercagar.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Rusnizam Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira kemampuan kewangan anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.
Kedua-dua tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, manakala penjamin diarahkan memastikan mereka hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.
Sebelum ini, beberapa rakaman video kanak-kanak yang disyaki dikasari petugas sebuah TASKA tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat.