
KUANTAN, 26 Oktober – Kemudahan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2027 disambut baik kerana dilihat mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan peminjam, termasuk mereka yang telah menamatkan pengajian dan sedang membina kehidupan.
- Penangguhan bayaran balik untuk peminjam berpendapatan sehingga RM2,500, meringankan beban permulaan kerjaya dan kos sara hidup.
- Bayaran minimum RM50 sebulan untuk peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, memudahkan pengurusan komitmen bulanan.
- Diskaun 10 peratus bagi peminjam yang membuat pembayaran konsisten tanpa tunggakan, menggalakkan disiplin pembayaran.
- Disambut baik oleh pelajar, profesional dan pekerja kerana meringankan beban keluarga dan menyokong akses kepada pendidikan tinggi.
Inisiatif itu merangkumi penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bulanan sehingga RM2,500, bayaran minimum RM50 sebulan bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, serta diskaun 10 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran secara konsisten tanpa tunggakan.
Salah seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang ditemui RTM, Ani Mastura Athirah Azlan berkata kemudahan berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada peminjam dan keluarga, malah menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memertabatkan pendidikan negara.
“Bagi saya, insentif ini dapat memberikan satu keringanan kepada keluarga, walaupun peminjam itu dah tamat tempoh pengajian, tetapi kerajaan masih lagi cakna tentang kebajikan peminjam. Dan insentif ini juga, dia dapat meningkatkan lagi keyakinan ibu bapa dalam pengajian tinggi ini, bahawa kerajaan ini masih memberi sokongan penuh terhadap pengajian tinggi”, ujarnya.
Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Iman Hakime berkata, inisiatif berkenaan amat membantu golongan muda yang baru memulakan kerjaya untuk mengimbangi komitmen kewangan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Iman Hakime berkata, inisiatif berkenaan amat membantu golongan muda yang baru memulakan kerjaya untuk mengimbangi komitmen kewangan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Pada pandangan saya, baru-baru ini pengumuman ini memang sangat memberangsangkan dan mendapat sambutan yang baik, sebab ia dapat ringankan beban kewangan ikut ekonomi sekarang, khususnya untuk golongan muda yang baru nak mulakan kerjaya.
“Jadi, ia dapat bantu untuk kita teruskan kepada kos sara hidup dan keperluan asas bila adanya pengumuman untuk belanjawan baru ini”, katanya.
Sementara itu, bagi salah seorang pekerja swasta, Mohammad Afiq Saifulqullah Jefazwin, penetapan bayaran minimum sebanyakRM50 sebulan dapat meringankan komitmen peminjam.
Manakala diskaun 10 peratus mampu menggalakkan mereka membuat pembayaran secara konsisten.
“Pandangan saya, insentif ini sangat baik kerana dapat membantu untuk meringankan beban peminjam. Lepas itu, daripada segi minimum bayar RM50 itu, ia sangat bagus kerana dapat meringankan seseorang itu untuk bayar untuk setiap bulan. Dan peratusan yang diberikan itu, 10 peratus itu, ia sangat menggalakkan untuk orang bayar setiap bulan”, jelasnya.
Inisiatif berkenaan diharap dapat membantu peminjam mengurus komitmen kewangan dengan lebih baik, sekali gus memberi kelegaan kepada keluarga serta menyokong kesinambungan akses kepada pendidikan tinggi.