
LENGGONG, 11 September – Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di Lenggong, Hulu Perak mengalami gejala keracunan makanan selepas dipercayai mengambil makanan yang disediakan sempena satu program di sekolah berkenaan, kelmarin.
- 159 pelajar dan kakitangan sekolah berasrama di Lenggong alami keracunan makanan selepas mengambil makanan semasa program
- Mangsa mengadu cirit-birit dan sakit perut; sebahagian juga mengalami sakit kepala, loya, muntah dan demam
- Semua mangsa diperiksa, 10 menerima rawatan lanjut di klinik; tiada yang dimasukkan wad dan kini stabil
- Jabatan Kesihatan ambil 34 sampel klinikal, 14 sampel persekitaran dan satu sampel makanan untuk dianalisis; premis katerer diarahkan ditutup
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun itu mula mengalami gejala seawal 11.30 malam, 9 September lalu.
Katanya, kesemua mereka mengalami cirit-birit dan sakit perut, manakala sebahagian yang lain turut mengalami sakit kepala, loya, muntah dan demam.
“Semua mangsa telah diperiksa dan menerima rawatan daripada pasukan perubatan Klinik Kesihatan Lenggong, dengan 10 daripadanya mendapatkan rawatan lanjut di klinik berkenaan.
“Bagaimanapun, semua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada yang dimasukkan ke wad,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Perak turut mengambil 34 sampel klinikal, 14 sampel persekitaran dan satu sampel makanan untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh.
Siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca kejadian dibekalkan oleh katerer luar bagi satu program anjuran agensi luar di sekolah berkenaan.
Susulan kejadian itu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak mengarahkan premis makanan berkenaan ditutup mengikut Seksyen 18(1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Pengusaha turut diberikan pendidikan kesihatan serta diarahkan menjalankan kerja pembersihan dan kawalan makhluk perosak secara berkala.
Dalam pada itu, dewan makan sekolah berasrama berkenaan masih beroperasi seperti biasa bagi menyediakan makanan kepada pelajar.