PHd usia matang, menuntut ilmu bukan lagi tentang gelaran

Foto janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • PhD pada usia matang memerlukan menyeimbangkan pengajian dengan peranan keluarga, kerja dan tanggungjawab lain.
  • Masa lebih berharga; disiplin dan kebijaksanaan menentukan bila bekerja, berhenti dan kembali semula.
  • Pengalaman hidup menjadikan soalan penyelidikan lebih bermakna dan menimbulkan kerendahan hati terhadap ilmu.
  • Kemajuan kecil berterusan lebih bernilai; jangan bandingkan masa perjalanan, PhD adalah pencapaian peribadi.

Melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sering dikaitkan dengan kecemerlangan akademik, penyelidikan, penerbitan dan pembangunan kerjaya.

Pada usia matang, seseorang tidak memasuki dunia PhD dengan kehidupan yang kosong. Kita datang dengan pelbagai peranan yang telah terbina selama bertahun-tahun.

Ada yang merupakan ibu atau bapa, suami atau isteri, pensyarah, pekerja, pentadbir, penjaga kepada ahli keluarga, dan dalam masa yang sama masih mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan organisasi.

Perjalanan PhD pada usia matang bukan sekadar persoalan, “Bolehkah aku menyiapkan tesis ini?” Persoalannya sering menjadi lebih besar:

“Bagaimanakah aku mahu menyiapkannya tanpa kehilangan perkara-perkara lain yang juga penting dalam hidup?”.

Apabila Masa Menjadi Lebih Berharga

Ketika masih muda, beberapa tahun mungkin kelihatan panjang. Namun semakin meningkat usia, kita mula melihat masa daripada perspektif yang berbeza.

Dalam keadaan ini, menyiapkan PhD memerlukan lebih daripada sekadar kebijaksanaan akademik. Ia memerlukan disiplin, kematangan, dan pengalaman untuk menentukan keutamaan.

Ada hari yang dapat digunakan sepenuhnya untuk membaca artikel, menganalisis data dan menulis tesis.

Ada masa terpaksa ketepikan PhD kerana keluarga memerlukan perhatian. Kadangkala tubuh sendiri meminta kita berhenti seketika, penat, dah tua.

Kita akhirnya belajar bahawa produktiviti tidak semestinya bekerja tanpa henti. tetapi mengetahui bila perlu bekerja, bila perlu berhenti, dan bila perlu kembali semula. Ha macam biasa buatkan!

Cabaran PhD bukan berlumba dengan orang lain, tetapi merupakan pertarungan dengan diri sendiri.

Di sebalik sebuah bab yang berjaya disiapkan, mungkin terdapat puluhan artikel yang dibaca, banyak versi yang dibuang, komen penyelia yang perlu diperbaiki dan ada hari apabila kita mempersoalkan kemampuan sendiri.

Kenapa aku lambat? Kenapa baru sekarang? Adakah masih berbaloi? Masih relevan ke apa yang aku nak buat ni?

Namun semakin jauh perjalanan PhD dilalui, semakin jelas bahawa setiap orang mempunyai garis masa kehidupan yang berbeza.

Ada orang yang memperoleh PhD pada usia 30-an. Ada pada usia 40-an. Ada pada usia 50-an atau lebih tua.

Nilai sebuah PhD tidak berkurang hanya kerana ia diperoleh kemudian. Malah, pengalaman hidup sering menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna.

Kita tidak lagi membaca teori semata-mata untuk mengetahui definisinya.

Kita menghubungkannya dengan pengalaman mengajar, bekerja, mengurus manusia, menyelesaikan masalah dan memahami kehidupan.

Apabila menemui suatu masalah dalam literatur, kita mungkin pernah melihat masalah tersebut berlaku dalam kehidupan profesional.

Pengalaman tidak menggantikan penyelidikan saintifik, tetapi pengalaman membantu kita bertanya soalan yang lebih bermakna.

Pada tahap ini, PhD tidak lagi sekadar proses mengumpulkan pengetahuan. Ia merupakan proses menyusun semula cara kita berfikir.

Kita belajar bahawa tidak semua persoalan mempunyai jawapan yang mudah.  Kita belajar menerima kritikan.

Kita belajar mempertahankan keputusan berdasarkan bukti. Kita belajar mengakui batasan kajian sendiri.

Dan mungkin perkara paling penting yang dipelajari ialah kerendahan hati terhadap ilmu. Semakin banyak yang kita baca, semakin kita sedar betapa banyak perkara yang belum kita ketahui.

Perjalanan seorang calon PhD bukanlah perjalanan seorang diri. Di belakangnya ada keluarga yang memahami masa hujung minggu yang terpaksa dikorbankan untuk menulis, pasangan yang memberi ruang dan sokongan serta anak-anak yang belajar menerima kesibukan ibu atau ayah.

Rakan-rakan pula terus memberikan semangat dan sokongan dan penyelia yang sentiasa membimbing ketika berdepan cabaran.

Tesis mungkin mempunyai satu nama pada kulit hadapannya. Namun, perjalanan untuk menghasilkan tesis itu sering melibatkan banyak hati.

PhD dan Pertarungan dengan Diri Sendiri

Dalam dunia akademik, mudah untuk melihat perjalanan sebagai satu perlumbaan.

Siapa tamat dahulu. Siapa menerbitkan lebih banyak artikel. Siapa mendapat jawatan lebih tinggi. Siapa memperoleh gelaran lebih awal.

Namun apabila PhD dilakukan pada usia matang, kita perlahan-lahan memahami bahawa tidak semua perkara dalam kehidupan perlu dimenangi melalui kepantasan.

Ada pencapaian yang nilainya terletak pada hakikat bahawa kita tidak berhenti.

Mungkin perjalanan kita mengambil masa lebih lama. Mungkin terdapat banyak kali kita terpaksa memperlahankan langkah. Mungkin ada ketika kita hanya mampu menulis satu halaman dalam sehari.

Tetapi satu halaman tetap satu halaman. Satu pembetulan tetap satu kemajuan. Satu bab yang selesai tetap membawa kita lebih hampir kepada garisan penamat.

PhD akhirnya mengajar bahawa kemajuan yang kecil tetapi berterusan lebih berharga daripada semangat besar yang hanya bertahan sebentar.

Kematangan Mengubah Cara Kita Melihat Ilmu

Mengapa masih mahu buat Phd? Pada usia tertentu, persoalan tentang PhD juga berubah. Ia tidak lagi semata-mata tentang kenaikan pangkat.

Bukan semata-mata tentang gelaran “Dr.”. PhD menjadi satu milestone peribadi, sesuatu yang ingin diselesaikan setelah bertahun-tahun berada dalam dunia pendidikan dan keilmuan.

Kita mahu mengetahui sejauh mana kemampuan diri. Kita mahu menghasilkansesuatu yang mempunyai nilai. Kita mahu meninggalkan sumbangan ilmu, walaupun kecil, dan terus bermanfaat sehingga kita tiada didunia ini lagi.

Dan bagi seorang Muslim, perjalanan menuntut ilmu juga boleh membawa kepada satu kesedaran yang lebih dalam, bahawa semakin luas ilmu yang dipelajari, semakin jelas keterbatasan manusia dan semakin besar keagungan ilmu Allah SWT.

Ilmu akhirnya bukan sekadar alat untuk membina kerjaya. Ia juga boleh menjadi jalan untuk mengenali diri dan Pencipta.

Kepada mereka yang sedang melalui perjalanan ini, jika anda sedang melakukan PhD pada usia matang dan kadangkala merasakan perjalanan anda terlalu perlahan, ingatlah bahawa anda tidak bermula dari titik yang sama dengan orang lain.

Anda membawa bersama sebuah kehidupan, tanggungjawab, keluarga, kerjaya, pengalaman dan kesihatan.

Jangan ukur perjalanan anda hanya berdasarkan seberapa cepat orang lain sampai. Ukur juga sejauh mana anda telah berjalan.

Ada hari kita mampu berlari. Ada hari kita hanya mampu berjalan perlahan. Ada hari kita perlu berhenti sebentar. Yang penting ialah kita kembali berjalan.

Kerana akhirnya PhD pada usia matang bukan hanya cerita tentang sebuah tesis yang berjaya disiapkan. Ia adalah cerita tentang seseorang yang mempunyai banyak sebab untuk berhenti, tetapi masih memilih untuk meneruskan perjalanan dan berkata dalam hati:

“Aku tidak sampai ke sini dengan mudah. Tetapi dengan izin Allah, aku sampai juga.”

Enjoy your PhD Journey…

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Siti Noor Ahmad
Pensyarah
Jabatan Komputeran
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran
Universiti Islam Selangor

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.