
SUNGAI PETANI, 10 September – Cubaan sekumpulan warga asing melarikan diri ke dalam kawasan hutan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa, gagal.
- 35 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Mahir di dua premis di Gurun dan Bedong, Kedah.
- Ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas atau permit sah dan tinggal melebihi masa.
- Kes terdiri daripada 34 lelaki dan seorang wanita, berumur antara 18 hingga 52 tahun.
- Mereka berasal daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Pakistan; dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.
Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah dalam Op Mahir di dua buah premis di Gurun dan Bedong, Kedah, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, 35 warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan tinggal lebih masa.
Menurut kenyataan itu, kesemua yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki dan seorang perempuan, berumur antara 18 hingga 52 tahun.
Mereka terdiri daripada 14 warga Myanmar, 9 warga Bangladesh, 9 warga Indonesia, 2 warga Nepal dan seorang warga Pakistan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan 29 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa, JIM Negeri Kedah melakukan pemeriksaan di dua premis berkenaan.
“Pemeriksaan telah dijalankan terhadap 80 individu terdiri daripada 21 warga Malaysia dan 59 warga asing.
“Warga asing yang diperiksa terdiri daripada 31 warga Bangladesh, 14 warga Myanmar, 9 warga Indonesia, 3 warga Nepal, seorang warga Pakistan dan seorang warga Filipina.*
Sebanyak lima Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
Kesemua 35 warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah untuk siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tegas JIM Kedah, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh di seluruh negeri bagi memastikan warga asing yang berada di Malaysia mematuhi undang-undang imigresen serta memiliki dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.
“Tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing berada di premis mereka tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah”, menurut kenyataan itu.