
IPOH, 8 Sept – Penduduk Buntong dijangka menerima limpahan ekonomi daripada pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion khususnya menerusi peluang pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan tempatan.
- Projek dijangka jana hingga 9,000 pekerjaan semasa pembinaan dan lebih 10,000 selepas siap.
- Aktiviti komersial buka peluang kepada PKS dalam makanan, peruncitan, perkhidmatan dan pengangkutan.
- Projek dilaksanakan berfasa dengan lanjutan fleksibel tanpa tempoh 20 tahun mengikut keadaan pasaran.
- Fasa awal: Taman Landskap tahun ini, masjid hujung tahun, terminal dan pusat beli belah tahun depan, kediaman bermula 2028.
Projek pembangunan bercampur terbesar di pusat bandar Ipoh itu dijangka menjana hingga 9,000 peluang pekerjaan ketika pembinaan dan lebih 10,000 selepas siap sepenuhnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain peluang pekerjaan, aktiviti komersial di sekitar projek berkenaan dijangka membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor makanan, peruncitan, perkhidmatan dan pengangkutan.
“Secara keseluruhannya, bagi fasa seterusnya projek ini akan dilanjutkan secara fleksibel tanpa tempoh horizon 20 tahun mengikut keadaan pasaran limpahan kemajuan. Ini bakal dinikmati secara menyeluruh merentasi dimensi ekonomi, mobiliti, kualiti hidupan dan sektor pelancongan di daerah Buntong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Darul Ridzuan di sini.
Beliau menambah, pembangunan projek dilaksanakan secara berfasa bermula dengan Taman Landskap tahun ini, diikuti masjid pada penghujung tahun.
“Terminal Bersepadu dan pusat beli-belah pula dijadualkan bermula tahun depan, manakala pembangunan kediaman disasarkan mulai 2028,” jelas beliau.