
TOKYO , 9 September – Ratusan atlet Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun terpaksa dipindahkan sementara dari tempat penginapan mereka selepas hujan lebat luar biasa melanda bandar raya tuan rumah, Nagoya menjelang saingan yang bermula Khamis.
- Beberapa venue pertandingan dimasuki air, cuaca hujan diramalkan berterusan beberapa hari.
- Pihak berkuasa dan penganjur belum dapat mengesahkan tahap kerosakan yang berlaku.
- Perkhidmatan kereta api bawah tanah dan bas dihenti sementara, amaran banjir tahap tertinggi dikeluarkan.
- Saintis dan kerajaan mengingatkan perubahan iklim meningkatkan kekerapan cuaca ekstrem; orang ramai diminta berhati-hati terhadap banjir dan pengumpulan air.
Media turut melaporkan beberapa venue pertandingan juga dimasuki air hujan, manakala cuaca hujan diramalkan berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Pihak berkuasa perbandaran dan penganjur Sukan Asia bagaimanapun belum dapat mengesahkan dengan segera tahap kerosakan yang berlaku.
Kira-kira 104 milimeter hujan turun dalam tempoh sejam di Nagoya pada Selasa, menyebabkan pihak berkuasa perbandaran mengeluarkan arahan pemindahan bagi beberapa kawasan.
Untuk Sukan Asia tahun ini, tiada perkampungan sukan disediakan untuk para atlet yang bertanding dengan penganjur memilih menggunakan kapal persiaran, kontena kayu sementara serta hotel sebagai tempat penginapan alternatif.
Seorang pegawai Pihak Berkuasa Pelabuhan Nagoya memberitahu AFP, ratusan atlet yang tinggal di kawasan Garden Pier yang menempatkan pondok kontena kayu, diarahkan berpindah ke tempat selamat.
“Para atlet dibenarkan kembali ke tempat penginapan masing-masing selepas arahan pemindahan ditarik balik kira-kira dua jam kemudian,” menurutnya.
Sukan Asia 2026 akan membuka tirai secara rasmi bermula dengan upacara pembukaan pada 19 September, namun beberapa acara akan dipertandingkan lebih awal.
Pertandingan bola keranjang akan bermula pada Khamis.
Lebih 17,000 atlet dan pegawai dijangka menyertai temasya berkenaan, jumlah yang lebih tinggi berbanding Sukan Olimpik.
Perkhidmatan kereta api bawah tanah dan bas di Nagoya turut dihentikan sementara pada Selasa, manakala Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran banjir tahap tertinggi bagi sebuah sungai utama di kawasan berkenaan.
“Susulan hujan lebat secara tiba-tiba, risiko berlakunya bencana serius berkaitan hujan semakin meningkat.
“Orang ramai diminta supaya berwaspada terhadap risiko banjir di kawasan rendah, peningkatan paras sungai serta pengumpulan air di laluan bawah tanah, ” menurut kenyataan di laman sesawang kerajaan Bandar Nagoya.
Sementara itu, saintis berpandangan, perubahan iklim akibat aktiviti manusia meningkatkan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem di Jepun serta beberapa kawasan lain. – AFP