
NEW YORK , 9 September – Jessica Pegula melangkah ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali ketiga berturut-turut untuk bertemu juara bertahan sebanyak dua kali, Aryna Sabalenka.
- Pegula menewaskan Emma Navarro 3-6, 6-4, 6-3 dalam 2 jam 20 minit.
- Pegula bangkit selepas ketinggalan awal set ketiga; perlawanan lembap, sembilan kali servis dipecahkan dan servisnya kurang konsisten.
- Dengan dua gelaran tahun ini, Pegula perlu ke final dan memenangi Grand Slam untuk menjadi nombor satu dunia.
Pegula yang turun selaku pilihan ketiga memerlukan dua jam 20 minit untuk menewaskan Emma Navarro, 3-6, 6-4, 6-3.
Sabalenka, menundukkan Pegula pada final 2024 di Flushing Meadows sebelum menyingkirkan beliau sekali lagi pada separuh akhir tahun lepas dalam usaha merangkul kejuaraan kedua.
Pegula bangkit selepas ketinggalan ‘break’ pada awal set ketiga dalam pertarungan sengit dari garisan belakang di gelanggang Arthur Ashe.
“Memang sangat sukar. Perlawanan ini memerlukan ketahanan fizikal dalam keadaan lembap. Servis saya juga tidak berada pada tahap terbaik dan saya terpaksa melawan banyak tekanan dalam diri,” kata Pegula selepas perlawanan yang menyaksikan sembilan kali servis dipecahkan.
Kemenangan itu membolehkan Pegula mencatat rekod bersih 5-0 menentang Navarro.
Navarro, bekas pemain ranking kelapan dunia menyaksikan prestasinya kembali meningkat selepas berehat panjang bagi memberi tumpuan kepada masalah kesihatan.
Navarro meraih gelaran pertamanya dalam tempoh lebih setahun di Strasbourg pada Mei lalu.
Pegula, yang sudah memenangi dua gelaran tahun ini antara tiga pemain yang berpeluang untuk merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Sabalenka.
Namun, pemain berusia 32 tahun itu perlu mara sehingga ke final dan memenangi gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya untuk menduduki ranking teratas dunia.
Pemain ranking kedua dunia, Elena Rybakina juga boleh merampas kedudukan nombor satu tanpa mengira keputusan lain sekiranya menewaskan pemain China, Zheng Qinwen, dalam satu lagi aksi suku akhir pada Rabu. – AFP