Bersara, kita masih boleh menyumbang

Gambar hiasan janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman dan kemahiran pesara adalah modal ekonomi berharga yang perlu dimanfaatkan bersama tenaga muda.
  • Perubahan demografi memerlukan ekonomi perak: sediakan ruang dan pilihan fleksibel untuk kerjaya kedua, mentor, dan khidmat konsultansi.
  • Teknologi dan program peningkatan kemahiran memudahkan penyertaan pesara; pembelajaran sepanjang hayat perlu disokong.

Apabila seseorang mencapai usia persaraan, lazimnya satu fasa kerjaya formal akan berakhir. Kad akses pejabat dipulangkan, rutin mesyuarat semakin berkurang dan jadual kehidupan mula berubah.

Namun, satu perkara yang tidak hilang bersama jawatan tersebut ialah pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang dikumpulkan sepanjang puluhan tahun bekerja.

Seorang jurutera yang bersara masih memiliki pengetahuan teknikal. Seorang guru masih mempunyai pengalaman mendidik. Bekas pegawai bank memahami selok-belok pengurusan kewangan dan pelanggan.

Manakala seorang pengurus industri pula membawa pengalaman mengurus pekerja, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Semua ini merupakan modal insan yang bernilai.

Persoalannya, dalam keadaan Malaysia sedang menuju masyarakat yang semakin berusia, adakah kita mempunyai ruang yang mencukupi untuk membolehkan pengalaman tersebut terus dimanfaatkan?

Apabila Struktur Penduduk Mula Berubah

Perbincangan mengenai kerjaya selepas persaraan semakin relevan apabila melihat perubahan demografi Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, 2026), jumlah penduduk berusia 60 tahun dan ke atas dianggarkan meningkat daripada 4.1 juta orang atau 12.0 peratus pada 2025 kepada 4.2 juta orang atau 12.3 peratus pada 2026.

Penduduk berusia 65 tahun dan ke atas pula meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Pada masa yang sama, bahagian penduduk muda juga menunjukkan perubahan. Penduduk berusia 0 hingga 14 tahun berkurang daripada 7.4 juta orang pada 2025 kepada 7.3 juta orang pada 2026, manakala bahagian penduduk berusia 15 hingga 30 tahun menurun sedikit daripada 27.9 peratus kepada 27.7 peratus.

Trend kelahiran turut memberi gambaran yang sama. Malaysia merekodkan 414,918 kelahiran hidup pada 2024, berkurang 9.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kadar kesuburan keseluruhan turut menurun daripada 1.7 anak bagi setiap wanita pada 2023 kepada 1.6 anak pada 2024. Malah, pada suku kedua 2026, jumlah kelahiran sekali lagi berkurang 6.1 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Angka-angka ini tidak bermaksud Malaysia akan berdepan kekurangan tenaga kerja muda dalam masa terdekat. Perubahan ini bukan sekadar trend jangka pendek.

Unjuran penduduk DOSM menunjukkan bahawa bahagian penduduk dalam kumpulan umur bekerja, 15 hingga 64 tahun, dijangka berkurang daripada 70.8 peratus pada 2030 kepada 65.7 peratus pada 2060, manakala bahagian penduduk berusia 65 tahun dan ke atas dijangka meningkat daripada 9.3 peratus kepada 18.3 peratus.

Perubahan struktur ini menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi pada masa hadapan perlu turut mengambil kira bagaimana modal insan berpengalaman dapat terus dimanfaatkan.

Dalam keadaan sebegini, perbincangan tentang ekonomi perak (silver economy) tidak seharusnya tertumpu kepada persoalan siapa yang akan menjaga masyarakat berusia.

Satu lagi persoalan perlu ditanya: Bagaimana kita boleh terus memanfaatkan pengalaman mereka yang masih mahu dan mampu menyumbang?

Persaraan Bukan Noktah Kepada Sumbangan

Perubahan struktur penduduk dan cara kita bekerja membuka ruang kepada satu lagi fasa iaitu kerjaya kedua. Kerjaya kedua tidak bermaksud seseorang perlu kembali kepada rutin kerja sepenuh masa dari pagi hingga petang.

Sebaliknya, ia boleh dilakukan dalam bentuk yang lebih fleksibel dan sesuai dengan kemampuan individu.

Seorang pesara boleh menjadi mentor kepada usahawan beberapa jam seminggu. Bekas akauntan boleh membimbing perusahaan mikro mengurus rekod dan aliran tunai.

Guru atau pensyarah yang bersara boleh menjalankan latihan dan bimbingan, manakala bekas profesional industri boleh menjadi penasihat kepada syarikat atau projek tertentu.

Ada juga yang mungkin memilih untuk menjalankan perniagaan kecil berdasarkan minat dan kemahiran yang dibina sepanjang kehidupan. Yang penting, kerjaya kedua perlu menjadi pilihan dan bukannya kewajipan.

Tidak semua orang mahu terus bekerja selepas bersara. Ada yang mahu berehat, meluangkan masa bersama keluarga, melakukan aktiviti kemasyarakatan atau mengejar minat yang selama ini tertangguh.

Semua pilihan tersebut perlu dihormati. Namun, bagi mereka yang masih mempunyai tenaga, kepakaran dan keinginan untuk terus menyumbang, peluang itu sewajarnya tersedia.

Pengalaman  Ialah Modal Ekonomi

Ekonomi moden banyak memberi penekanan kepada teknologi, kemahiran digital dan kelayakan baharu. Semua ini penting. Namun terdapat satu lagi bentuk modal yang tidak boleh dibina dalam tempoh singkat iaitu pengalaman.

Pengalaman puluhan tahun mengurus pelanggan, menghadapi krisis, membuat keputusan, membina jaringan dan menyelesaikan masalah menghasilkan pengetahuan praktikal yang tidak semuanya terdapat dalam buku teks.

Seorang pekerja muda mungkin mempunyai kemahiran teknologi yang lebih terkini. Seorang pekerja berpengalaman pula mungkin mempunyai pertimbangan, jaringan profesional dan pemahaman industri yang lebih mendalam. Kedua-duanya tidak perlu dilihat sebagai pesaing.

Sebaliknya, ekonomi masa hadapan memerlukan lebih banyak kerjasama antara generasi. Pendekatan ini bukan bertujuan menggantikan tenaga kerja muda dengan pekerja berusia, sebaliknya menggabungkan kekuatan kedua-dua generasi melalui perkongsian pengalaman, kemahiran dan pengetahuan.

Bayangkan seorang usahawan muda yang mahir menggunakan media sosial dan teknologi dipadankan dengan bekas pengurus industri yang mempunyai pengalaman 30 tahun mengurus operasi.

Seorang mempunyai kemahiran digital, manakala seorang lagi membawa pengalaman pasaran dan pengurusan. Apabila kedua-duanya digabungkan, nilai baharu boleh diwujudkan.

Membina Ekosistem Silver Talent

Di sinilah Malaysia boleh mula melihat konsep silver talent dengan lebih serius. Daripada membiarkan pengalaman berakhir apabila seseorang meninggalkan organisasi, kita boleh membina mekanisme yang membolehkan kepakaran tersebut terus digunakan.

Antaranya ialah platform pemadanan kemahiran pesara dengan perusahaan kecil dan sederhana, pangkalan data mentor industri, program konsultansi jangka pendek, pekerjaan berasaskan projek serta program bimbingan kepada usahawan dan graduan.

Universiti dan institusi latihan juga boleh melibatkan profesional bersara sebagai mentor industri. Agensi pembangunan usahawan pula boleh memadankan bekas profesional dengan usahawan mikro yang memerlukan bimbingan khusus.

Syarikat sendiri boleh membangunkan rangkaian bekas pekerja berpengalaman yang boleh dirujuk semula apabila kepakaran tertentu diperlukan. Model sebegini membolehkan ilmu dan pengalaman terus beredar dalam ekonomi, bukannya terhenti bersama tarikh persaraan seseorang.

Teknologi Membuka Ruang Kerjaya Baharu

Perkembangan teknologi juga menjadikan kerjaya kedua lebih mudah dilaksanakan. Konsultansi boleh dilakukan secara dalam talian. Seseorang boleh menjadi mentor dari rumah, mengendalikan kelas secara maya atau memberi khidmat profesional tanpa perlu kembali bekerja sepenuh masa.

Namun, peluang ini perlu disertai dengan program peningkatan kemahiran. Kursus pendek mengenai teknologi digital, kecerdasan buatan, pemasaran dalam talian, keusahawanan dan pengurusan kewangan boleh membantu golongan matang menggabungkan pengalaman lama dengan keperluan ekonomi baharu.

Pembelajaran sepanjang hayat adalah satu peluang untuk semua generasi meningkatkan ilmu dan kemahiran.

Usia Meningkat, Peluang Juga Perlu Berkembang

Apabila kadar kelahiran menurun dan masyarakat semakin berusia, kita mungkin perlu melihat semula definisi produktiviti.

Dalam menghadapi perubahan demografi, pembangunan ekonomi bukan hanya mengenai jumlah tenaga kerja yang tersedia, tetapi juga sejauh mana pengetahuan, pengalaman dan kemahiran sedia ada dapat dimanfaatkan secara produktif.

Ini tidak bermakna usia persaraan perlu dinaikkan secara automatik atau semua pesara perlu kembali bekerja. Sebaliknya, kita perlu menyediakan lebih banyak pilihan.

Ada yang mahu bersara sepenuhnya. Ada yang mahu bekerja dua hari seminggu. Ada yang mahu menjadi mentor. Ada yang mahu berniaga. Ada pula yang sekadar mahu berkongsi ilmu kepada generasi seterusnya. Ekonomi yang inklusif mempunyai ruang untuk semua pilihan tersebut.

Dalam ekonomi perak, golongan berusia tidak seharusnya hanya dilihat melalui keperluan penjagaan atau kuasa beli mereka. Mereka juga membawa aset yang sangat bernilai iaitu pengalaman, pengetahuan, jaringan dan kebijaksanaan yang dibina sepanjang kehidupan bekerja.

Apabila jumlah mereka semakin meningkat, peluang untuk terus menyumbang juga sewajarnya berkembang. Pada akhirnya, seseorang mungkin bersara daripada jawatan, tetapi pengalaman dan kemampuannya untuk mencipta nilai tidak mempunyai tarikh persaraan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Fatin Syazwani Safiyuddin
Pensyarah Kanan (Kewangan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.