
MIRI, 9 Sept. – Helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM, Miri pada pukul 11.06 pagi tadi, membawa pasukan forensik dan bantuan ke lokasi nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram.
- Lebih 20 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan untuk meneruskan operasi susulan nahas.
- Penerbangan menggunakan helikopter JBPM Mi-171 selepas cuaca mengizinkan; perjalanan udara Miri ke Long Lellang sekitar sejam.
- Perjalanan darat mengambil masa kira-kira 10 jam melalui bekas jalan pembalakan; akses juga melalui Perkhidmatan Udara Luar Bandar RAS.
Penerbangan menggunakan helikopter JBPM jenis Mi-171 atau Bomba Zero Four, selepas keadaan cuaca mengizinkan.
Lebih 20 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan ke lokasi bagi meneruskan operasi susulan nahas berkenaan.
Pasukan terbabit terdiri daripada kru Unit Udara JBPM, JBPM Zon Miri dan Zon Marudi, wakil Layang-Layang Aerospace, pegawai Lapangan Terbang Miri serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penerbangan dari Miri ke Long Lellang mengambil masa kira-kira sejam, bergantung kepada keadaan cuaca.
Terdahulu, taklimat Penyelarasan Pengoperasian diadakan di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM pagi tadi.
Taklimat disampaikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil serta Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Sementara itu, perjalanan melalui jalan darat dari Miri ke Long Lellang mengambil masa kira-kira 10 jam dan tempoh perjalanan bergantung kepada keadaan cuaca serta laluan.
Akses ke Long Lellang ketika ini adalah melalui bekas jalan pembalakan, selain menggunakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar, RAS.
Dalam pada itu, mengenai status penerbangan komersial ke Long Lellang, Pengurus Lapangan Terbang Miri, Mohd Zabidi Abdullah ketika dihubungi RTM berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan kelak.
Malah, pihak media juga dimaklumkan bahawa sebarang bahan atau perkembangan terkini hanya perlu menunggu kenyataan rasmi daripada PDRM.