
KUAH, 8 September – Selepas hampir 20 tahun, Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan komuniti tapak warisan geologi atau geopark yang menyaksikan sebanyak 590 peserta dari 22 negara, mewakili 114 geopark dari rantau Asia Pasifik dan global dihimpunkan dalam Simposium Rangkaian Geopark Asia Pasifik ke-9 (APGN 2026).
- Simposium memperkukuh kolaborasi geopark antarabangsa bagi pertukaran ilmu, pelancongan geo dan pembangunan mampan.
- Jaringan diwujudkan perlu diterjemah kepada projek dan kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada rakyat.
- Tumpuan kepada nilai jangka panjang: peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan kemudahan menyokong pembangunan komuniti tempatan.
- Langkawi diperkukuh sebagai UNESCO Global Geopark, membuka peluang pelancongan lestari, pelaburan dan kerjasama antarabangsa.
Simposium yang berlangsung dari 7 hingga 10 September itu menjadi platform buat komuniti geopark antarabangsa berkongsi ilmu dan memperkukuh kolaborasi dalam bidang pelancongan geo serta pembangunan mampan.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, penganjuran APGN 2026 juga memastikan jaringan yang terbina diterjemahkan kepada projek dan kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Warisan yang dibangunkan hari ini perlu mempunyai nilai jangka panjang untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Selain daripada ekonomi, aspek peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta manfaat kepada komuniti tempatan turut perlu diberi perhatian, termasuk memastikan ketersediaan kemudahan yang mampu menyokong pembangunan setempat.
“Kita mahu memastikan manfaat ini bukan hanya untuk hari ini, tetapi dapat diwariskan kepada generasi akan datang, ” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian APGN 2026 di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.
Syed Ibrahim berkata, penganjuran simposium ini turut memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan lestari, pelaburan dan kerjasama antarabangsa.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Hari Antarabangsa Gua dan Kars sebagai usaha meningkatkan kesedaran global mengenai kepentingan pemuliharaan gua dan landskap kars yangmempunyai nilai geologi, biodiversiti dan pendidikan.
APGN 2026 menyaksikan 190 kertas pembentangan, 35 pembentangan poster serta penyertaan 36 pempamer geopark dalam Pameran Geopark.
Kali terakhir Langkawi menjadi tuan rumah kepada simposium berkenaan ialah pada tahun 2007.