
KUALA LUMPUR, 6 September – Universiti Malaya (UM) melakar kejutan besar apabila berjaya merangkul gelaran juara selepas menewaskan juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1-0 pada aksi final bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, malam tadi.
- UM membawa pulang RM7,000, piala pusingan dan piala iringan sebagai juara Piala Menteri Pendidikan 2026.
- Mohamed Amin Imran menjaringkan gol leret pada masa kecederaan separuh masa pertama, memecah kebuntuan.
- UiTM terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Wan Muhammad Aqil menerima kad kuning kedua pada minit ke-49.
- Kemenangan menamatkan penguasaan tiga edisi berturut-turut UiTM dalam kejohanan itu.
Kemenangan tipis dalam perlawanan yang berlangsung di UM Arena itu sekali gus menyaksikan UM dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Pendidikan 2026.
Selaku juara, UM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000, piala pusingan serta piala iringan, sekali gus melengkapkan gelaran berganda pada edisi kali ini.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, UM memulakan saingan dengan langkah positif menerusi asakan bertali arus ke kubu lawan.
Peluang terbaik tuan rumah hadir seawal minit ke-12 menerusi tandukan Aiyubi Solahuddinizam Muhammad Nasarudin, namun sekadar menggegar palang gol.
UiTM yang memburu gelaran keempat berturut-turut turut mempamerkan kebangkitan dengan beberapa gerakan berbahaya, namun ketangkasan penjaga gol UM, Aghni Abdul Shukor Abduloh berjaya menafikan percubaan pasukan pelawat.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol UiTM, Azim Nasri Issan untuk UM mendahului 1-0.
Memasuki babak kedua, usaha UiTM untuk menyamakan kedudukan menerima tamparan hebat selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-49.
Intensiti perlawanan semakin meningkat pada penghujung saingan dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif.
UM turut kehilangan seorang pemain apabila pemain gantian, Ameer Nur Iman Aminuddin dilayangkan kad merah, namun situasi itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh UiTM.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kejuaraan milik UM dan menamatkan penguasaan tiga edisi berturut-turut yang dipegang oleh UiTM sebelum ini.