
LIKAS, 6 September – Kuching City FC mencatat kemenangan bergaya di gelanggang lawan selepas menewaskan Sabah FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2026/27 di Stadium Likas, malam tadi.
- Sikap dan karakter pemain dipuji sebagai faktor utama kejayaan, dengan setiap pemain memahami tanggungjawab masing-masing.
- Pelaksanaan taktikal yang diulang dalam latihan membantu pasukan kekal tanpa bolos dan mengekalkan momentum positif.
- Sabah sukar selepas dibolosi menerusi aksi individu berkualiti, peluang separuh masa kedua gagal dimanfaatkan.
Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC membawa pulang tiga mata penuh selepas menampilkan aksi yang lebih baik sepanjang perlawanan.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata perubahan sikap dan karakter pemain menjadi antara faktor utama kejayaan pasukannya, selain setiap pemain memahami tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, barisan pemain berjaya menterjemahkan perancangan taktikal yang diterapkan sepanjang sesi latihan.
Beliau berkata, kemampuan mengekalkan rekod tanpa bolos turut menjadi motivasi positif buat pasukan untuk terus membaiki prestasi secara konsisten.
“Saya fikir faktor utama ialah sikap dan karakter pemain. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang hadir ke sini untuk memberikan sokongan kepada pemain.
“Saya fikir setiap pemain juga tahu tanggungjawab masing-masing dan apa yang mereka mahu capai. Dan saya rasa mereka telah melakukan tugas dengan sangat baik, daripada aspek bertahan sehinggalah kepada serangan,” katanya di sini.
Katanya, pemain perlu mengekalkan komitmen dan disiplin tinggi bagi memastikan momentum positif pasukan berterusan dalam aksi akan datang.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, pasukannya bermula seimbang dan cuba mendominasi permainan, namun dua gol awal lawan menerusi aksi individu berkualiti menyebabkan pasukan Sabah menjadi lebih sukar.
Menurutnya, Sabah turut mempunyai beberapa peluang terutama pada separuh masa kedua, namun gagal memanfaatkannya untuk merapatkan jurang sebelum lawan mengambil kesempatan menerusi serangan balas.
“Sudah tentu kami melakukan kesilapan dan kehilangan bola di situ, tetapi ia berlaku jauh dari kawasan kotak penalti. Jadi, kami sentiasa boleh mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“Namun, mereka mengatasi kami menerusi bakat individu seorang pemain. Situasi untuk menjaringkan gol menjadi lebih sukar dan berbeza selepas dua tindakan tersebut.
“Kami tidak boleh mengawal segala-galanya. Ini pasukan yang bagus dengan pemain-pemain berkualiti. Pemain yang berkualiti mampu melakukan perkara seperti itu. Kami sudah berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut memuji barisan pemainnya yang terus mengekalkan semangat, corak permainan dan pendekatan yang dirancang meskipun berdepan tekanan selepas ketinggalan dua gol.
Kuching City FC kekal ditempat kedua liga, manakala Sabah FC kekal di tangga keempat.