BNM kekalkan OPR 2.75 peratus

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, selaras dengan prospek kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi Malaysia berkembang 5.7% separuh pertama 2026, disokong eksport lebih baik dan permintaan domestik mampan.
  • Momentum pertumbuhan dijangka menyokong sekitar 5% untuk keseluruhan tahun, asas ekonomi kukuh menyokong daya tahan pada 2027.
  • Inflasi purata tujuh bulan 1.8% dan inflasi teras 2%; kos tinggi tetapi pemindahan harga terkawal, konflik global dipantau.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam kenyataannya berkata, ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, didorong oleh prestasi eksport yang lebih baik daripada jangkaan serta permintaan dalam negeri yang mampan.

Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi sekitar 5 peratus bagi keseluruhan tahun ini, manakala asas ekonomi yang mantap dijangka terus menyokong daya tahan pertumbuhan pada 2027.

Prospek itu akan dipacu oleh permintaan kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport berkaitan teknologi, selain perbelanjaan pelancong, keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan berterusan.

Dalam perkembangan harga, inflasi keseluruhan bagi tujuh bulan pertama tahun ini berpurata 1.8 peratus, manakala inflasi teras pada 2 peratus.

Menurut BNM, meskipun kos kekal tinggi dan pertumbuhan ekonomi kukuh, pindahan kos kepada harga pengguna masih dapat dibendung oleh langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil.

Bagaimanapun, perkembangan konflik di Asia Barat dan harga komoditi global yang tinggi akan terus dipantau berikutan potensinya memberi tekanan terhadap kos.

Pada paras OPR semasa, MPC berpandangan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, sambil terus menilai perkembangan inflasi serta pertumbuhan dalam negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.